Batalkan tempahan jika tidak hadir vaksinasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup melaporkan sebanyak 650 tempahan yang diganjakkan telah gagal dihadiri kelmarin.

Dalam perkara ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai sekali lagi untuk memeriksa perjanjian vaksinasi melalui aplikasi BruHealth atau pesanan ringkas dari semasa ke semasa bagi memastikan tarikh tempahan perjanjian serta tempat pusat vaksinasi mereka. 

Mereka yang tidak dapat menghadiri pada tarikh tempahan kerana menjalani kuarantin atau telah membuat tempahan lain dinasihatkan untuk membatalkan tempahan yang diberikan ini bagi memberikan peluang kepada orang lain yang boleh memanfaatkan slot-slot berkenaan. 

Proses mengganjakkan tempahan slot suntikan bagi mereka yang terjejas oleh penangguhan pemberian vaksin dos pertama COVID-19 masih giat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan perubahan-perubahan seperti lokasi vaksinasi dipindah ke pusat vaksinasi lain. 

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat peribadi termasuk nombor telefon dalam sistem BruHIMS bagi memastikan mesej mengenai tempahan slot dapat diterima.