Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    BATC: Medan uji prestasi Kisona

    KUALA LUMPUR, 14 FEB – Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bakal menjadi platform buat S. Kisona membuktikan bahawa beliau telah kembali pada tahap terbaiknya sebagai perseorangan wanita utama negara.

    Setelah berhadapan pelbagai cabaran, termasuk prestasi tidak konsisten dan dua kali dijangkiti COVID-19, pemain berusia 23 tahun itu akan menebus segala kekurangan tahun lepas itu di BATC, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bermula esok hingga Ahad ini.

    Pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata juara Sukan SEA 2019 itu kebelakangan ini menunjukkan kemajuan untuk kembali pada prestasinya sebelum ini.

    “Kami mencari jalan untuk meningkatkan keadaan fizikalnya dan dia (Kisona) akhir-akhir ini agak bagus. Dia juga semakin pulih dan dari segi prestasi latihan atas gelanggang juga sangat stabil.

    “Jadi, untuk melihat hasilnya, sama ada usaha itu akan membuahkan mata kemenangan, kami perlu mengujinya di BATC. Ia adalah platform yang baik walaupun Jepun dan India menghantar pasukan kedua mereka. Namun mereka merupakan lawan yang kuat, jadi kami mahu memanfaatkan peluang itu (untuk menguji para pemain),” katanya kepada pemberita ketika latihan.

    Selain Kisona yang berada pada kedudukan ke-64 dunia, pemain perseorangan lain yang mewakili negara adalah Eoon Qi Xuan (126), Siti Nurshuhaini Azman (309), Myisha Mohd Khairul (369) dan Tan Zhing Yi (1,484).

    Diundi dalam Kumpulan Y, skuad wanita kebangsaan akan memulakan kempen esok menentang India sebelum bertemu Jepun pada Rabu.

    Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir serta meraih tiket ke pusingan akhir Kejohanan Piala Uber di Bangkok, Thailand pada Mei ini.

    Tanpa penyertaan bekas juara dunia, yang kini berada pada ranking ketujuh dunia, PV Sindhu dan bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal (25), harapan pasukan India diletakkan pada pemain muda, Aakarshi Kashyap (56), Malvika Bansod (61) dan Ashmita Chaliha (62).

    Sementara itu, skuad Jepun yang merehatkan enam pemain terbaik mereka, akan diwakili Natsuki Nidaira (72) dan Riko Gunji (181). – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...