LONDON, 29 Jan – Michy Batshuayi meledak dua gol bagi membantu Chelsea menewaskan pesaing dari Liga Perdana Inggeris, Newcastle United 3-0, untuk melangkah ke pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge, sebentar tadi.
Jaringan Batshuayi pada minit ke-31 dan ke-44, serta sepakan percuma yang disempurnakan Marcos Alonso pada baki 18 minit sebelum tamat perlawanan sudah cukup untuk membolehkan juara EPL itu untuk menyingkirkan skuad bimbingan Rafael Benitez.
Jaringan pertama penyerang Belgium itu muncul hasil pergerakan cantik Pedro yang melepasi pertahanan Newcastle dan membolehkan Eden Hazard mudah melakukan hantaran kepada Marcos Alonso.
Alonso kemudiannya melakukan hantaran kepada Batshuayi yang mudah membolosi gawang gol lawan.

Penyerang Belgium itu kemudiannya meledak gol kedua Chelsea dan gol kedua peribadinya pada minit terakhir rehat babak pertama, sebelum Alonso melengkapkan kemenangan The Blues menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-72.
Gol kedua Batshuayi itu adalah jaringan ke-10 peribadinya sepanjang musim ini. Ditanya mengenai masa depannya selepas tamat aksi tadi, penyerang itu berkata; “Saya tidak tahu, lebih baik tanyakan kepada Conte,”
“Apabila saya memiliki peluang, saya mahu menggunakannya. Saya berusaha keras setiap hari dan hari ini, saya cukup gembira apabila berada di sini,”
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea melangkah ke pusingan kelima buat kali ke-18 dalam tempoh 20 tahun, manakala kali terakhir Newcastle melangkah ke pusingan itu adalah pada tahun 2006. – AFP