Batu alami hasil seni menarik

Oleh Amri HTZ

Keindahan batu alami yang terdapat di sungai mahupun pantai sering kali menarik para pemerhatinya untuk membawanya pulang.

Sesetengah daripada mereka menjadikannya perhiasan dengan men-yusunnya di ruangan yang dirasakan bersesuaian manakala bagi yang kreatif, ia dijadikan sebuah seni. Bagi memanfaatkan barangan alami dan terpakai, kedua-dua sumber mampu digabungkan bagi menghasilkan seni yang luar daripada kebiasaan juga sebagai penghias.

Barangan yang diperlukan

Dalam projek kali ini, beberapa barangan yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum memulakan projek ialah mekanisme lampu terdiri daripada tiang lampu, kaki, wayar, pemegang mentol dan shade lampu. Penggunaan meka-nisme lampu lama adalah disarankan bagi memanfaatkan barangan terpakai.

Selain itu beberapa barangan dan peralatan lain yang diperlukan ialah batu alami dari sungai, pantai dan sebagainya dengan ukurn sederhana, diamond hole saw berukuran 19mm, pen penanda, mesin gerudi, tukul, sepana 12mm, pemutar skru, cat sembur berwarna hitam, pita perekat, berus cat dan varnis.

Kumpul batu alami

Sebelum memulakan projek mereka lampu bertiangkan batu alami ini, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mendapatkan batu alami yang terdapta di sungai-sungai atau tepian pantai. Batu yang dipilih ini merupakan batu jenis yang kurang dari segi kekerasan bagi memudahkan proses penebukannya nanti.

Persediaan lebih awal perlu dibuat dengan mengutip dan memilih bentuk batu alami dari sungai atau pantai.
Barangan terpakai yang akan digunakan semula dalam projek ini.
Bahagian bawah tong yang akan dijadikan shade lampu perlu semburkan dengan cat berwarna hitam.
Batu-batu yang telah dimasukkan ke dalam tiang lampu perlu dikekalkan menggunakan bolt.
Salah satu tambahan daripada kaki lampu yang terpakai lainnya digunakan bagi memperbaiki hasil akhir rekaan.

Bagi mengetahui jenis batu tersebut, dengan hanya melihat pada keadaan fizikalnya, ia mempunyai warna luaran yang seakan-akan warna batu bata. Untuk ukurannya, pilih yang mempunyai ukuran yang sederhana di antara diameter 4sm hingga 10sm dan berbentuk leper. Pastikan batu yang dikutip secara keseluruhannya berbeza ukuran bagi memberikan keseimbangan ketika menyusunkannya.

Batu-batu yang telah didapatkan kemudiannya akan dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu dengan cara mencuci dan menjemurnya. Proses ini bagi memastikan permukaan batu yang akan disapukan cat nanti melekat dan mampu bertahan lama.

Setelah ia dibersihkan dan mengering, tandakan bahagian tengah batu menggunakan pen penanda sebagai panduan ketika langkah menebuknya. Penggunaan mata gerudi jenis diamond bit (ukuran yang sama dengan tiang lampu digunakan) diperlukan untuk menembusinya. Lakukan langkah penebukan dengan perlahan bagi memastikan batu yang ditebuk tidak pecah.

Langkah seterusnya adalah menanggalkan keseluruhan struktur lampu yang digunakan untuk mendapat-kan beberapa bahagian penting. Bahagian yang diperlukan semula tiang lampu, kaki, wayar, pemegang mentol dan shade lampu. Jika dirasakan shade asal tidak bersesuaian dengan tema rekaan tersebut, penggunaan round mesh bin adalah disarankan memandangkan ia mampu memberikan keunikan kepada rekaan.

Mekanisme lampu yang telah disediakan tadi turut perlu dibersihkan dengan cara hanya memberus kesan kotoran ringan. Untuk bahagian kakinya, ia akan perlu diwarnakan dengan warna yang baharu. Ini memerlukan anda untuk menggosok permukaannya menggunakan kertas pasir berukuran 600 grit bagi menghasilkan permukaan yang kasar sekali gus penting untuk proses pengecatan.

Semburkan dua hingga tiga lapisan cat pada permukaan kaki lampu dengan memberikan masa untuk setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan cat yang seterusnya. Dengan ini ia akan mampu menyembunyikan warna asal pada bahagian latar sekali gus menjadikannya nampak lebih segar dan baharu.

Selain itu untuk shade lampu yang diperbuat daripada round mesh bin, hanya bahagian bawah tong akan disemburkan dengan cat dengan meninggalkan bahagian jejaring besi dengan warna asal (kelabu). Untuk itu, ia memerlukan anda menutupi bahagian yang tidak perlu dicat menggunakan pita perekat.

Bagi bahagian tiang lampu, ia akan dimasukkan ke dalam batu yang telah ditebuk dengan ukuran yang paling besar di bahagian bawah diikuti yang lebih kecil di bahagian atas. Setelah memenuhinya, ketatkan bolt pada tiang lampu dan kaki lampu.

Bagi memastikan permukaan batu sentiasa nampak dalam keadaan berkilat (keunikan permukaan batu kebiasaannya terserlah ketika dalam keadaan basah), ia perlu disapukan dengan varnis bagi meniru keadaan ‘basah’ yang terhasil selepas disapukan. Sama seperti langkah penyemburan cat, lapisan yang diperlukan juga di antara dua hingga ketiga lapisan dengan perbezaan masa mengering bagi varnis adalah lebih lama.

Sementara menunggu varnis mengering, gunakan masa terluang untuk menebuk bahagian tengah tong menggunakan mata gerudi bersesuaian dengan bracket shade lampu. Setelah cat mengering, masukkan wayar lampu pada bahagian tengah tiang lampu yang berlubang untuk memasangkan pemegang mentol.

Dengan mengetatkan bolt shade lampu pada bahagian atas yang disediakan dengan sepana yang bersesuaian, kini hanya tinggal anda mencuba menghidupkan lampu bagi memastikan kesemuanya berfungsi dengan baik. Lampu meja unik yang telah direka dengan memanfaatkan barangan terpakai tersebut hanya perlu ditempatkan di tempat yang sesuai bagi menerangi sekali gus menghiasi ruangan tersebut.