Batu bersurat 3,500 tahun ditemui semula

BAGHDAD, 8 DIS – Batu bersurat berusia 3,500 tahun yang memaparkan Epik Mesopotamia Gilgamesh telah dikembalikan kepada Iraq tiga dekad selepas ia dicuri dan diimport ke Amerika Syarikat (AS).

Batu bersurat itu dipamerkan kepada media di Iraq semalam oleh pihak berkuasa yang mengalu-alukan kepulangannya sebagai ‘satu kemenangan’ ke atas mereka yang mencuri ‘sejarah’ negara.

Batu bersurat tanah liat itu memaparkan huruf dalam bentuk tulisan pepaku dan dipercayai dicuri dari sebuah muzium Iraq pada 1991 ketika negara dibelenggu Perang Teluk pertama.

Epik Gilgamesh dianggap salah satu kesusasteraan paling tua di dunia, menceritakan kisah raja Mesopotamia dalam usaha mencari keabadian hidup.

Pada sidang media semalam di Baghdad, menteri luar Iraq menyerahkan kepada menteri budaya tiga artifak yang ditemui dari AS dan UK: batu bersurat Gilgamesh, kepala biri-biri Sumeria dan batu bersurat Sumeria.

Batu bersurat Gilgamesh “adalah amat penting, ia adalah salah satu teks kesusasteraan paling tua dalam sejarah Iraq,” beritahu Menteri Kebudayaan dan Antikuiti Hassan Nazim kepada AFP.

“Hari ini melambangkan kemenangan ketika berdepan usaha terdesak mereka yang cuba mencuri sejarah dan peradaban kuno kami,” kata Menteri Luar Iraq Fuad Hussein semalam. – AFP

Batu bersurat tulisan pepaku Gilgamesh yang dipercayai dicuri dari Iraq pada 1991 dan diimport ke AS kini dipamerkan di Kementerian Hal Ehwal Iraq di Baghdad, pada 7 Disember. – AFP