HURGHADA, Mesir – Di perairan biru yang tenang di luar pantai Laut Merah Mesir, penyelam skuba dilihat meluncur di antara ubur-ubur berwarna merah jambu dan juga deretan karang yang begitu mengagumkan, namun sektor pelancongan itu sedang mengancam keadaan ekosistem marin yang sungguh rapuh tersebut.
Laut Merah adalah sebuah destinasi penyelaman skuba utama, tetapi sektor pelancongan Mesir itu telah terpukul oleh gelombang kejutan keselamatan sepanjang sedekad ini, sebelum pemulihan separa berlaku sejak tahun 2017.
Tenaga pengajar atau jurulatih menyelam di bandar Hurghada, sebuah tempat peranginan terkemuka, memberi amaran bahawa pemulihan itu membawa bahaya kepada batu-batu karang.
Sebelum penurunan pelawat berlaku, adanya terlalu banyak aktiviti dijalankan kerana ia sangat murah, kata seorang penduduk yang namanya tidak mahu disebutkan.
“Di sesetengah kawasan, ianya sudah hilang, walaupun di tempat lain kita nampak ianya kembali semula.”






Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) mengatakan bahawa terumbu karang adalah antara ‘yang paling indah, mempunyai biologi yang pelbagai dan juga ekosistem yang sungguh halus di dunia’.
Ia menggambarkan bahawa sumber-sumber ini adalah sebagai sesuatu yang penting untuk mengekalkan bekalan makanan dan melindungi pantai-pantai di negara yang mempunyai kawasan rendah berhampiran dengan laut itu.
Di sepanjang pinggir laut di bandar Hurghada, bazar-bazar dan pusat peranginan menawarkan harga yang tiada tandingan untuk menarik para pelawat Eropah ke sebuah negara yang mana sektor pelancongan terpentingnya terjejas akibat serangan pemberontak berani mati pada tahun 2011.
Berikutan penggulingan diktator lama, Hosni Mubarak, pada tahun 2011, jumlah ketibaan pelancong di Mesir menjunam jatuh.
Sektor ini turut terjejas semula pada tahun 2015, apabila kumpulan berani mati meletupkan pesawat Rusia yang berlepas dari satu lagi peranginan Laut Merah utama, Sharm al-Sheikh, membunuh 224 orang.
Tetapi sumbangan sektor pelancongan Mesir kepada KDNKnya meningkat 16.5 peratus tahun lalu kepada AS$29.6 bilion (26.5 bilion euro), tahap tertinggi sejak 2010, menurut Majlis Pelancongan dan Pelancongan Sedunia.
Mesir belum lagi menerbitkan statistik rasminya untuk tahun ini.
Pelancong Jerman, Daniel, 29, berkata dia sebahagiannya telah tertarik ke Mesir oleh kerana harganya yang begitu murah.
“Ia jauh lebih murah daripada Caribbean,” katanya sambil berjemur di pantai persendirian di Hurghada.
Dengan peralatan skuba ‘flippers’ di kaki mereka dan tangki udara di belakang mereka, kebanyakan pelancong Eropah berenang di perairan yang tenang di Hurghada.
Sepuluh meter di bawah permukaan, ikan badut dan ikan rama-rama terlihat berenang di antara batu-batu karang yang berwarna hijau dan ungu.
“Ia sangat cantik,” kata salah seorang pelancong Estonia ketika dia menaiki semula sebuah bot.
UNEP menganggarkan bahawa kira-kira 20 peratus daripada terumbu karang dunia telah musnah dan 60 peratus lagi berada dalam ancaman, akibat dari perubahan iklim, penangkapan ikan secara berlebihan dan pelancongan.
Ramai orang yang hidup atau tinggal berdekatan dengan terumbu bergantung padanya untuk terus hidup, dan bandar peranginan Mesir adalah tidak terkecuali.
Para saintis menganggap bahawa terumbu Laut Merah adalah kawasan batu karang yang paling terjejas akibat daripada perubahan iklim, dan ianya masih dalam ancaman.
“Kebangkitan semula pelancongan di Mesir adalah satu perkara yang baik, tetapi ia telah meningkatkan tekanan di kawasan terumbu karang,” kata Heba Shawky, pengarah urusan Persatuan Perlindungan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Hurghada.
Kumpulan kempen ini telah ditubuhkan pada tahun 1992 oleh penyelam-penyelam profesional yang merasa bimbang terhadap potensi impak pelancongan besar-besaran di rantau itu.
Kira-kira 1,700 bot pelancong beroperasi di sepanjang pantai Laut Merah Mesir, menurut wilayah Laut Merah, manakala Pihak Berkuasa Terusan Suez mengatakan bahawa sebanyak 18,174 kapal komersial melepasi Terusan Suez tahun lepas.
Shawky berkata pihak NGO itu telah membina kira-kira 1,200 pelampung di pelbagai lokasi menyelam untuk mengelakkan penggunaan sauh, yang mana dapat merosakkan terumbu karang.
Tetapi, katanya, masih banyak yang perlu dilakukan, seperti mengurangkan bilangan dan saiz bot menyelam, yang boleh mencapai 50 meter (55 kilometer) panjang.
“Ia adalah mengenai membataskan bilangan pengguna setiap hari untuk menangani masalah bilangan bot yang semakin meningkat,” kata Shawky.
Jenderal Ahmed Abdallah, gabenor wilayah Laut Merah Mesir, bersetuju.
“Kami melakukan segala usaha untuk mengekalkan persekitaran laut dan menghentikan sebarang pencemaran yang menjejaskan terumbu karang,” katanya kepada AFP.
Abdallah menjelaskan kepada ketiadaan industri yang mengeluarkan pencemaran yang begitu tinggi seperti pengeluaran keluli, simen atau seramik di rantau itu.
Baru-baru ini, beliau juga menyatakan keputusan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik, yang sangat merosakkan kehidupan laut.
Dengan sehingga 12 juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun, UNEP percaya pencemaran plastik marin adalah salah satu cabaran alam sekitar yang paling mendesak pada masa ini.
“Kami sedang melakukan banyak usaha, namun kami perlu melakukan lebih banyak lagi,” kata Mahmoud Hanafy, seorang profesor dalam bahagian biologi marin di Universiti Terusan Suez dan penasihat kepada persatuan Shawky.
Beliau menggesa agar pihak berkuasa dapat mengisytiharkan beberapa kawasan terumbu karang yang dilindungi agar dijauhi dari ‘terlebih dieksploitasi.’
Beliau juga mencadangkan, berikutan peneraju Australia dan Maldives, untuk mewujudkan terumbu tiruan, kadang-kadang menggunakan percetakan 3D, untuk mengurangkan tekanan pada batu karang semula jadi.
Shawky berpendapat bahawa tidak ada percanggahan antara melindungi alam sekitar dan menyokong pelancongan.
Tidak seperti bahagian lain di Mesir, “kami tidak mempunyai piramid atau kuil,” katanya.
“Kami mempunyai sumber hidup di bawah air. Jadi dengan memelihara alam sekitar, kami membantu industri pelancongan.” – AFP