Batu permata terbesar ditemui di Tanzania

DAR ES SALAAM, 25 JUN – Seorang pelombong kecil-kecilan Tanzania menjadi jutawan selepas menemui dua batu permata berharga terbesar yang pernah ditemui di negara itu dan menjualnya kepada kerajaan.

Saniniu Kuryan Laizer, 52, menemui batu berkenaan dengan berat 9.27 dan 5.1 kilogram masing-masing di utara bukit Mirerani, kawasan yang telah dipagari oleh Presiden John Magufuli pada 2018 untuk menghalang penyeludupan batu permata tersebut.

Beliau menjual batu tanzanite kepada kerajaan dengan harga 7.7 bilion shillings Tanzania.

Batu tanzanite pertama ditemui di kaki gunung Kilimanjaro pada 1967, dan utara rantau Tanzania Manyara yang merupakan satu-satunya tempat di mana batu itu, disukai oleh tukang emas disebabkan kilauan warna ungu-birunya yang luar biasa.

Pada satu majlis untuk meraikan penemuan di Manyara semalam, menteri perlombongan, Dotto Biteko berkata batu tersebut adalah yang terbesar pernah ditemui dalam negara.

Saniniu Kuryan Laizer bergambar bersama dua batu permata berharga terbesar, tanzanite, semasa satu majlis meraikan penemuannya di Manyara, utara Tanzania kelmarin. – AFP

“Laizer ialah jutawan kami dan biarlah kami memastikan beliau selamat,” katanya.

“Kami sedang beralih daripada situasi di mana pelombong kecil menyeludup batu tanzanite, dan sekarang mereka mematuhi prosedur serta membayar cukai dan royalti kepada kerajaan.”

Laizer berkata beliau berharap untuk menggunakan wang tersebut untuk membangunkan komunitinya.

“Saya merancang membina sebuah pusat membeli-belah di Arusha dan sebuah sekolah berhampiran rumah saya,” kata Laizer.

Kerajaan menulis di Twitter bahawa batu berkenaan akan diletak di muzium negara. – AFP