Batu tongkol hempap rumah, satu maut

TLALNEPANTlA, MEXICO, 12 SEPT – Anggota menyelamat merancang meneruskan usaha mencari mangsa runtuhan tanah yang mencetuskan bertan-tan batu tongkol menggelongsor turun ke lereng bukit curam di kawasan luar Bandar Mexico, membunuh sekurang-kurangnya seorang penduduk dan 10 lagi hilang.

Operasi itu dirumitkan oleh ukuran batu yang terbelah dari kemuncak dikenali sebagai Chiquihuite, laluan sempit di kawasan yang tidak dapat diakses oleh jentera berat dan ketidakstabilan kawasan gunung.

Runtuhan tanah di Tlalnepantla di negeri Mexico menyusuli hujan le-bat selama beberapa hari di tengah Mexico dan gempa bumi bermagnitud 7.0 pada Selasa di Acapulco yang menggegar bangunan 200 batu dari ibu negara. Gabenor Mexico Alfredodel Mazo berkata kedua-dua faktor tersebut mungkin menyumbang kepada runtuhan tanah.

Pihak berkuasa menghentikan kerja-kerja menyelamat selepas malam disebabkan risiko lebih banyak batu akan terjatuh.

“Kami tidak mahu sesiapa mengambil risiko tambahan,” kata Ricardo De La Cruz, penolong setiausaha dalam negeri Mexico.

“Pakar geologi telah memberitahu kami bahawa runtuhan tanah adalah rumit.

“Kami telah melancarkan dron dan kami tidak mahu menempatkan sesiapa dalam keadaan bahaya.”

Usaha semalam adalah menstabilkan cerun bukit untuk membolehkan pasukan menyelamat meneruskan operasi, kata beliau.

Kemungkinan menemui mangsa selamat adalah tipis kerana anggota menyelamat telah dikerah ke tapak bencana dengan anjing dan peralatan ‘dan kami belum mengesan apa-apa,” kata De La Cruz. – AP

Batu tongkol yang terjatuh dari lereng bukit menghempap rumah di Tlalnepantla, pinggir Bandar Mexico dalam kejadian tanah susur baru-baru ini. – AP