Bau durian disangka gas bocor

SYDNEY, 15 OKT – Anggota bomba Canberra hari ini bergegas ke sebuah kedai di ibu kota Australia itu selepas menerima laporan berkaitan ‘kebocoran gas’, yang sebenarnya hanya bau dari durian.

Petugas kecemasan mengarahkan orang ramai mengosongkan lokasi berhampiran sementara mereka mengesan punca ‘kebocoran gas’ di sekitar kawasan membeli-belah Dickson.

Selepas sejam di lokasi kejadian, agensi perkhidmatan kecemasan Canberra berkata, seorang pemilik rumah sewa di atas kedai berkenaan memberi tahu mengenai kemungkinan sumber kejadian itu.

“Itu bukan kebocoran gas, tetapi sebenarnya dari buah durian. Buahnya mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan dan boleh dihidu dari jarak yang jauh,” katanya. – AFP