Oleh Azlan Othman
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Semua restoran, kafe, medan selera dan gerai makan dilarang menyajikan makanan di premis mereka bermula kelmarin, berikutan wabak COVID-19, untuk membendung penularannya menerusi perhimpunan.
Perusahaan-perusahaan berkenaan hanya dibenarkan menyediakan perkhidmatan bawa balik sahaja buat sementara ini.
Tinjauan media, kelmarin, melihat nota-nota dilekatkan di perusahaan-perusahaan berkenaan, memaklumkan pelanggan bahawa mereka hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang di samping nombor perhubungan restoran dengan kerusi-kerusi disimpan.
Salah seorang pelanggan berbangsa Cina ketika ditemui berkata, senario berkenaan serupa dengan apa yang berlaku ketika bulan Ramadan di mana mereka tidak boleh makan di restoran dan perlu membawa balik makanan.
Kebelakangan ini, media sosial juga telah dihujani dengan perkhidmatan-perkhidmatan dan diskaun yang ditawarkan oleh restoran-restoran dan kedai makan mengenai perkhidmatan penghantaran makanan.
Tegahan makan di premis diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri semasa sidang media kemas kini status wabak COVID-19 pada 18 Mac.
