Bawah 100 buat kali pertama

TEHRAN, 14 APRIL – Iran hari ini mengatakan jumlah kehilangan nyawa di negara itu akibat COVID-19 menurun kepada dua digit buat kali pertama dalam masa sebulan.

Jurucakap kementerian kesihatan, Kianoush Jahanpour mengatakan 98 kematian COVID-19 direkodkan dalam masa 24 jam lalu, membawa jumlah keseluruhan kepada 4,683 orang.

“Malangnya, kita kehilangan 98 rakan senegara yang dijangkiti dengan penyakit ini…namun selepas sebulan menunggu, ini adalah kali pertama angka kematian berubah kepada dua digit,” dia memberitahu sidang media disiarkan di televisyen.

“Kami berharap kita akan meneruskan laluan ini dengan kerjasama anda semua, dengan mematuhi panduan kesihatan yang dihasratkan menghentikan penularan wabak ini,” katanya.

Jumlah keseluruhan jangkitan di Iran adalah 74,877 orang, dengan 48,129 sembuh dan dibenarkan pulang. – AFP