BEIJING, 20 MEI – Seorang wanita yang ditinggalkan kekasih telah menghantar hadiah luar biasa sebagai balas dendam kepada bekas kekasihnya yang berpisah dengannya beberapa hari sebelum Hari Kekasih – melonggokkan satu trak bawang merah di depan pintu rumahnya untuk membuatnya menangis.
Wanita di timur wilayah Shandong di China membeli satu tan bawang merah dalam talian dan dihantar ke rumah bekas teman lelakinya, berkata tiba ‘gilirannya’ untuk menangis.
Dia mengarah pemandu penghantaran supaya melonggokkan bawang di depan pintu bekas teman lelakinya dan meninggalkan di sana tanpa menekan loceng pintu, lapor Shandong Net, saluran berita yang bergabung dengan kerajaan tempatan, pada Ahad.
“Saya menangis selama tiga hari, dan sekarang tiba giliran kamu!” tulisnya dalam nota yang dilampirkan bersama hadiah tersebut.
Wanita di Shandong, dengan nama keluarga Zhao, memberitahu Shandong Net dia telah menjalin hubungan dengan bekas teman lelakinya selama hampir setahun sebelum lelaki itu memutuskan untuk ‘berpisah.’
“Ia membawa banyak penderitaan kepada saya, tetapi dia langsung tidak menangis!” kata Zhao.
Maka dia memutuskan untuk menghantar hadiah yang akan ‘membuatnya menangis.’
“Wang tidak bermakna apa-apa. Namun perasaan di antara dua orang adalah bernilai. Saya tidak boleh menjadi seorang yang menangis sahaja,” tambahnya. – AFP