Bayar pampasan atau tambah penjara

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas gagal membuktikan ketidakbersalahannya terhadap 20 dakwaan menipu orang lain bagi mendapatkan wang dengan memberi jaminan bahawa dia boleh mendapatkan pekerjaan dalam pasukan beruniform, dan satu lagi insiden berasingan.

Azman bin Ibrahim juga diarahkan untuk membayar pampasan kepada sembilan mangsa berjumlah $24,890 keseluruhannya atau berdepan hukuman penjara tambahan selama 33 minggu.

Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof menyabitkan tertuduh bersalah terhadap 20 pertuduhan berkenaan setelah mendapati kes dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah. Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman, antara lain telah memanggil sembilan mangsa sebagai saksi untuk menyokong kesnya di mahkamah. Fakta kes menyatakan bahawa pada Mei 2018, tertuduh bertemu dengan seorang wanita dan menawarkan bahawa dia dapat membantu menjamin jawatan dalam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk anak lelakinya jika wanita berkenaan membayarnya $800.

Tertuduh memberitahu wanita berkenaan bahawa dia telah membantu ramai yang lain sebelumnya kerana iparnya ialah timbalan pesuruhjaya polis pada masa itu. Sebaik sahaja wanita berkenaan bersetuju dan membayar wang berkenaan, tertuduh memintanya untuk mencari lebih ramai orang yang berminat untuk menyertai PPDB.

Sepanjang 2018, tertuduh bertemu dengan mangsa-mangsa lain dan membuat tawaran serupa untuk mendapatkan jawatan bagi mereka atau keluarga mereka dalam PPDB dengan syarat mereka membayarnya sejumlah wang.

Tertuduh juga beberapa kali menawarkan jawatan lebih baik dalam PPDB bagi bayaran tambahan.

Pada amnya, tertuduh menawarkan jawatan sebagai anggota polis tambahan, anggota Unit Simpanan, polis konstabel, anggota Skuad Operasi Khas dan satu jawatan sebagai kerani.

Setiap mangsa mendakwa bahawa mereka membayarnya terus secara tunai. Mahkamah menambah bahawa tertuduh mempengaruhi pengadu dengan memperkenalkan dirinya sebagai anggota PPDB dan menunjukkan garinya.

Tertuduh juga memberitahu mereka bahawa dia mempunyai kenalan dalam PPDB untuk membantu mereka mengatasi sebarang masalah (seperti kurang kelayakan, melebihi had usia atau mempunyai kes polis belum selesai). Selain meminta wang, tertuduh juga meminta salinan kad pengenalan, CV dan sijil-sijil kelayakan pemohon.

“Beberapa orang mangsa juga memberi keterangan bahawa tertuduh menjemput mereka untuk menghadiri taklimat mengenai proses pengambilan dan pada satu taklimat, dia memberitahu mereka bahawa tarikh kemasukan mereka ke PPDB adalah pada 4 Disember 2018 dan sebagai persediaan, mereka perlu membeli barang-barangan diperlukan seperti pakaian sukan, kelengkapan tandas, cadar dan penggilap kasut,” ujar mahkamah.

“Apabila mangsa-mangsa pergi ke Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong pada 4 Disember 2018 menjangkakan untuk menyertai PPDB, tertuduh memaklumkan mereka bahawa terdapat kesilapan dan tarikh kemasukan sebenarnya pada 4 Januari 2019. “Bagaimanapun, ada 4 Januari 2019, apabila mangsa-mangsa sekali lagi berhimpun di kawasan letak kereta Ibu Pejabat Polis, tertuduh tidak muncul dan tidak lagi dapat dihubungi menerusi telefon bimbit.

“Ini menyebabkan mereka membuat laporan polis terhadap tertuduh,” mahkamah menambah. Manakala dalam insiden berasingan, tertuduh menghubungi mangsa menerusi WhatsApp pada 24 Disember 2018 untuk menawarkan dua enjin bot Yamaha pada harga $4,000 dan enjin-enjin berkenaan akan dilepaskan pada 4 Januari 2019.

Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju membayarnya serta-merta. Bagaimanapun, pada 4 Januari, mangsa mendapati dia ditipu kerana tertuduh tidak dapat dihubungi.

Tertuduh telah ditahan pada 3 Februari 2019. Mahkamah juga mendapati bahawa keterangan pembelaan tertuduh tidak berasas.