Bayar sendiri ujian ART jika belum bervaksin

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Kakitangan kerajaan yang belum divaksin atas kemahuan mereka sendiri, perlu melakukan saringan ujian pantas antigen (ART) setiap hari di hadapan seorang pegawai di kementerian masing-masing atau Antigen Centre dan membiayai sendiri ujian tersebut apabila negara memasuki fasa endemik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu ketika menjawab persoalan dibangkitkan pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Manakala pada fasa peralihan, pegawai-pegawai kerajaan yang belum mendapatkan vaksinasi tertakluk kepada budi bicara jabatan masing-masing sama ada membenarkan mereka bekerja di rumah atau di pejabat.

Mereka yang bekerja di pejabat akan menjalankan ujian saringan ART seperti dilaksanakan di sektor kerajaan pada masa ini.

“Apabila memasuki fasa endemik dan masih ada yang belum mendapatkan vaksin atas kemahuannya sendiri, mereka dicadangkan membuat ujian ART setiap hari yang dibiayai mereka sendiri dan jika keputusan negatif, barulah mereka dibenarkan masuk ke jabatan kerajaan,” jelasnya.

Bagi yang mempunyai risiko perubatan, mereka adalah amat digalakkan untuk mengambil vaksin, katanya.

Beliau turut mengongsikan bahawa kit ART mencukupi kerana Kementerian Kesihatan akan mendatangkan 1 juta kit ART ke negara ini setiap bulan.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mendedahkan bahawa hanya 1.8 peratus kakitangan kerajaan yang belum menerima vaksin dan 85 peratus sudah pun lengkap dos vaksin dan selebihnya baru mendapatkan satu dos vaksin.