Bayar ujian COVID-19 sendiri – Hertha

BERLIN, 6 OKT – Hertha Berlin menegaskan pemain dan kakitangan yang enggan diberi vaksin harus membayar ujian COVID-19 mereka sendiri, kelab Bundesliga mengesahkan hari ini.

Jurucakap kelab memberitahu bahawa pemain atau kakitangan yang menolak vaksin koronavirus tidak lama lagi perlu membayar ujian PCR mereka sendiri, yang berharga sekitar AS$80 setiap kali.

Di bawah peraturan Liga Bola Sepak Jerman (DFL), pemain mesti menjalani ujian PCR dua kali seminggu, tetapi Hertha menguji kakitangannya enam kali setiap minggu.

Pengarah sukan Hertha, Fredi Bobic memberitahu akhbar Jerman Bild bahawa 90 peratus skuad dan kakitangan sudah divaksinasi.

Kira-kira 82 peratus daripada semua pemain di Bundesliga dilaporkan sudah divaksinasi.

Skuad Hertha telah dikuarantin dua kali tahun ini kerana wabak koronavirus.

Hertha Berlin telah membuat permulaan yang buruk untuk musim Bundesliga dengan kalah lima daripada tujuh perlawanan liga pertama mereka. – AFP