Bayar ujian swab jika keluar negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan caj pembayaran ujian swab COVID-19 untuk orang ramai yang diberikan kebenaran keluar negara atas alasan-alasan tertentu, dengan caj bagi warganegara dan penduduk tetap $100 manakala bukan warganegara termasuk kad pengenalan hijau dikenakan bayaran $200.

Bagi para pelajar warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam (termasuk pelajar biasiswa dan persendirian yang baru memulakan atau menyambung pelajaran), pegawai-pegawai kerajaan atas urusan rasmi dan mereka yang mempunyai kebenaran khas daripada Kementerian Kesihatan adalah dikecualikan daripada pembayaran.

Bayaran caj swab itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, caj dikenakan berikutan pengurangan sekatan perjalanan oleh beberapa negara yang membolehkan warga asing diberi kebenaran untuk memasuki negara-negara luar dengan syarat tertentu.

“Antara syarat yang mungkin dipatuhi ialah mendapatkan ujian swab dengan keputusan negatif sebelum diberikan kebenaran untuk memasuki negara tersebut.

“Caj juga dikenakan kerana terdapat peningkatan permohonan diterima oleh Kementerian Kesihatan daripada orang ramai bagi ujian swab untuk tujuan keluar negara bagi sebab-sebab tertentu, iaitu mereka yang diberikan kebenaran keluar negara oleh Jabatan Perdana Menteri,” tambahnya.

Manakala dalam sesi soal jawab, beliau menerangkan bahawa ujian swab itu adalah satu keperluan yang mana sebahagian negara luar memerlukan sijil atau keputusan yang menunjukkan mereka ini negatif COVID-19.

“Ia adalah kos yang sudah disubsidikan dan bukannya kos sebenar yang perlu dibayar oleh orang ramai,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa mana-mana permohonan swab di negara ini bukanlah untuk tujuan keluar negara secara bebas. Ia hanyalah untuk mereka yang bertujuan keluar negara atas urusan-urusan pekerjaan dan sebagainya sahaja yang mana mereka memerlukan sijil atau keputusan yang menunjukkan mereka itu negatif COVID-19.