Bayaran gaji di Malaysia dijangka meningkat 2020

KUALA LUMPUR, 27 NOV – Bayaran upah di Malaysia dijangka meningkat 5.0 peratus pada 2020, manakala pertumbuhan upah sebenar dijangkakan menyusut kepada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus tahun lepas selepas pelarasan pada kadar inflasi sebanyak 1.5 peratus, kata firma perundingan pengurusan global Korn Ferry.

Dalam pada majikan Malaysia menganggarkan kenaikan upah lima peratus pada 2020, yang sama seperti pada 2019, pertumbuhan upah sebenar akan menyusut pada 2020 apabila mengambil kira kadar inflasi, kata ketua bagi amalan ganjaran dan manfaat Asia Pasifik Korn Ferry, Mary Chua.

“Sudah banyak perbincangan mengenai kadar inflasi yang tidak mencerminkan kenaikan kos sara hidup di Malaysia, dan kerajaan sedang berusaha membangunkan indeks baharu yang lebih tepat mengenai kos sara hidup.

“Indeks baharu itu boleh digunakan bersama dengan kadar inflasi bagi meningkatkan usaha dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan kenaikan upah sebenar,” katanya.

Di seluruh Asia Tenggara, Korn Ferry berkata Indonesia dijangka mencatat peningkatan upah sebenar yang lebih tinggi pada 5.1 peratus selepas mengambil kira 3.0 peratus kadar inflasi. – Bernama