Bayaran gaji Man United melonjak

LONDON, 18 NOV – Bayaran gaji Manchester United meningkat 23 peratus selepas kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old Trafford, menurut keputusan kewangan terbaharu kelab itu semalam.

Kedatangan Ronaldo dan tiga lagi pemain pada musim panas menyebabkan United perlu menambah lagi £1.3 juta seminggu, menurut laporan kewangan terkini kelab.

Angka untuk suku pertama 2021/22 tahun kewangan menunjukkan peningkatan £16.6 juta dalam ‘perbelanjaan faedah pekerja’ berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jumlah bayaran gaji dalam tempoh tiga bulan sehingga 30 September melonjak £88.5 juta apabila kelab menandatangani semula Ronaldo dan membawa masuk Raphael Varane dan Jadon Sancho.

Ronaldo penyumbang utama peningkatan jumlah itu berdasarkan gajinya yang mencipta rekod kelab selain pemain berpendapatan paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana sejak kembali semula pada Ogos lalu.

Peningkatan tersebut dibatalkan oleh £17.4 juta yang dibawa masuk menerusi penjualan pemain, terutamanya perpindahan Dan James ke Leeds, walaupun kelab juga memperoleh bayaran penjualan daripada pemindahan Romelu Lukaku dari Inter Milan ke Chelsea.

Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward berkata kejayaan di atas padang kekal menjadi misi utama kelab dan pengendali Ole Gunnar Solskjaer, semakin tertekan dengan kelab ketinggalan sembilan mata di belakang pemimpin Chelsea meskipun kempen pembelian pemain mereka.

“Ketika laporan kewangan hari ini turut terkesan dengan pandemik, keutamaan kami tetap menumpu pada kejayaan di atas padang,” kata Woodward.

“Pengurus, pemain dan semua orang di kelab tetap komited untuk mencapai objektif yang ditetapkan.” – AFP

Aksi Cristiano Ronaldo berebut bola dengan pemain Serbia Milos Veljkovic semasa perlawanan kumpulan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 di antara Portugal dan Serbia di stadium Luz di Lisbon, pada 14 November. – AFP