Bayaran pencen bermula esok

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan bahawa pembayaran Pencen Umur Tua, Pencen Orang Buta, Pencen Hilang Upaya, Elaun Bercelaru Mental, Elaun Kusta, Elaun Kurang Upaya dan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) akan dimulakan pada 23 September ini.

Pembayaran lebih awal itu adalah bagi membolehkan pembayaran secara berperingkat bagi keselamatan semua pihak yang terlibat dan mengehadkan perkumpulan ramai. Dalam kenyataan KKBS, langkah-langkah pembayaran pencen, elaun dan bantuan tersebut yang diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dalam menangani perkembangan terkini wabak COVID-19.

Pembayaran akan dilaksanakan dalam dua kaedah iaitu pembayaran melalui akaun bank yang tidak berubah dan akan mula dibayar pada 23 September. Para penerima Pencen Umur Tua yang ketika ini menerima secara tunai digalakkan untuk menukar kepada kaedah pembayaran melalui bank dan borang permohonan boleh diperolehi melalui laman web Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) iaitu www.japem.gov.bn.

Kaedah kedua ialah pembayaran melalui pandu lalu yang dilaksanakan sehingga 28 September di kawasan terbuka dan lapang seperti masjid, dewan kemasyarakatan dan sekolah di keempat-empat daerah. Pembayaran pandu lalu adalah mengikut masa secara berperingkat-peringkat iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan pukul 2 hingga 5 petang kecuali Jumaat iaitu dari 8 pagi hingga 11:30 pagi dan disambung pada pukul 2:15 petang hingga 5 petang.

Penghulu dan ketua kampung diingatkan untuk memastikan tarikh dan masa giliran para penerima melalui pandu lalu ditetapkan.

Senarai lokasi pembayaran melalui pandu lalu setiap daerah juga dikongsikan melalui media massa, sosial dan laman-laman web JAPEM dan KKBS (www.kkbs.gov.bn).

Dalam pada itu, pihak KKBS mengadakan Projek Rintis Kutipan Bayaran Pencen-pencen, Elaun dan BKB dengan menggunakan kaedah penempahan slot pengambilan melalui aplikasi QueUp mulai 20 September bagi beberapa kampung iaitu Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 4 bertempat di Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan Jalan 1, dan Kampung Sengkurong B di Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong.

Untuk makluman, para penerima yang membuat tempahan slot akan diadakan pada 23 hingga 25 September dan penerima yang tidak mempunyai tempahan slot mulai 26 September dengan menghubungi ketua kampung masing-masing bagi proses pembayaran selanjutnya.

Para penerima boleh membuat tempahan dengan memuat turun aplikasi QueUp, pilih Book Time, pilih KKBS Pandu-lalu Pembayaran Pencen dan BKB kemudian pilih kampung pembayaran dan tarikh antara 23 hingga 25 September serta waktu kutipan. Bagi yang tidak mempunyai kenderaan ataupun kurang sihat pula dikehendaki melantik wakil dengan mengisikan borang, membawa kad pengenalan asal penerima dan disahkan oleh ketua kampung masing-masing. Manakala itu, bagi yang tidak mempunyai wakil hendaklah memaklumkan ketua kampung untuk mendapat kaedah pembayaran yang bersesuaian.

Bagi penghulu dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara, proses pembayaran akan dilaksanakan pada 23 September melalui kaunter-kaunter yang disediakan di Bahagian Warga Emas dan Pencen-pencen, Tingkat 1 dan Bahagian Bantuan Kebajikan Am, Tingkat 2, JAPEM, bangunan KKBS mengikut masa yang ditetapkan secara berperingkat menurut pembahagian mukim.

Sementara itu, bagi penghulu dan ketua kampung di daerah-daerah lain, pembayaran akan dilaksanakan di cawangan JAPEM setiap daerah. Bagi sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Talian Kebajikan 141 atau 2382911 sambungan 1249.