Bayaran pencen hari ini dan esok secara pandu lalu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi meneruskan pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (Balu dan Tanggungan) bagi bulan Julai melalui kaedah pandu lalu di tiga buah daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait pada 28 Julai dan 29 Julai.

Jabatan tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan kaedah pandu lalu masih diteruskan setelah mengambil kira jumlah penerima yang ramai secara tunai dan situasi negara yang masih dalam ancaman wabak COVID-19 di tiga buah daerah kecuali Daerah Temburong.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas; Daerah Belait di kawasan penurunan kereta di depan Pejabat Cawangan Perbendaharaan Kuala Belait; Daerah Tutong di Dewan Kemasyarakatan, Tutong dan bagi Daerah Temburong pula, pembayaran akan dibuat di Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Cawangan Temburong iaitu tempat lazim pembayaran dibuat setiap bulan.

Pembayaran pencen akan bermula jam 7:30 pagi sehingga 3:30 petang pada tarikh-tarikh tersebut, manakala pembayaran pada hari-hari seterusnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi sekali lagi menyarankan kepada para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga memohon kerjasama penerima-penerima untuk mematuhi arahan-arahan diberikan oleh pihak berkuasa yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pembayaran menunggu giliran masing-masing dan seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.

Bagi sebarang pertanyaan mengenainya, orang ramai bolehlah menghubungi talian-talian yang telah disediakan iaitu 2380822/2383469.