Bayaran pencen secara pandu lalu di tiga tempat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengumumkan pembayaran pencen perkhidmatan dan pencen turunan (balu dan tanggungan) akan diadakan secara pandu lalu bagi bulan ini.

Pembayaran tersebut akan diadakan di tiga tempat berasingan iaitu Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara, tempat letak kereta Kompleks Sukan Tutong bagi Daerah Tutong, manakala itu, bagi Daerah Belait, pembayaran akan dibuat di Pejabat Cawangan Perbendaharaan, Kuala Belait.

Pembayaran akan dilaksanakan pada 25 dan 27 November ini, dari pukul 7:30 pagi hingga 2:30 petang.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengingatkan para penerima untuk membawa kad pengenalan asal. Selain itu, hanya mereka yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning yang dibenarkan ke lokasi tersebut, dan para penerima dimestikan untuk sentiasa memakai pelitup muka.

Bagi yang berwakil, mereka diingatkan untuk membawa surat wakil yang lengkap, kad pengenalan asal yang berwakilkan, dan kad pengenalan asal yang diwakilkan.

Untuk maklumat lanjut bolehlah melayari laman sesawang www.mofe.gov.bn atau menghubungi talian 2380822 dan 2383469.