Bayaran tanpa tunai di JPD

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatannya melalui penggunaan kemudahan digital sesuai dengan perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) memperkenalkan kemudahan pembayaran tanpa tunai di kaunter-kaunter perkhidmatan bermula 17 Februari lalu di bangunan ibu pejabat JPD, Gadong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPD hari ini, kemudahan pembayaran tanpa wang tunai itu bertujuan untuk memudah cara urusan orang ramai, menyediakan jaminan keselamatan dan mengurangkan ketidakselesaan orang ramai yang menguruskan pembayaran terutama dengan jumlah wang tunai yang banyak serta menggalakkan orang ramai agar cenderung membuat transaksi pembayaran tanpa wang tunai.

Sehubungan dengan itu, selain daripada pembayaran secara tunai, orang ramai khususnya para pelanggan JPD kini mempunyai pilihan dan dialu-alukan untuk membuat transaksi pembayaran tanpa wang tunai menggunakan kad-kad kredit atau debit di kaunter-kaunter membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu, tukar milik dan pendaftaran bilangan atau tanda pengenalan kenderaan di premis ibu pejabatnya.

Kemudahan transaksi pembayaran tanpa wang tunai itu juga akan dilaratkan ke cawangan-cawangan JPD di setiap daerah dalam masa terdekat.

Di kesempatan ini, JPD memohon kerjasama dan sokongan orang ramai dalam usaha berterusan jabatan berkenaan untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada orang ramai.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam JPD di talian 2451980/81/82 sambungan 111 pada waktu-waktu bekerja atau e-mel kepada [email protected]