Bayer beli firma bioteknologi AS, AskBio

FRANKFURT AM MAIN, 26 OKT – Syarikat gergasi farmaseutikal Jerman, Bayer berkata hari ini yang ia akan membeli firma bioteknologi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Asklepios BioPharmaceutical (AskBio)sekitar AS$4 bilion ketika ia berhasrat untuk bertapak dalam pasaran terapi gen yang semakin berkembang pantas.

“Dengan pemilikan itu, Bayer akan dapat memajukan penubuhan platform terapi gen dan sel yang boleh menjadikan ia berada di barisan hadapan dalam kejayaan sains,” kata ketua eksekutif Werner Baumann dalam satu kenyataan.

Bayer, yang berharap untuk memeterai perjanjian menjelang akhir tahun ini, berkata ia akan membayar pendahuluan AS$2 bilion (1.7 bilion euro) dan AS$2 bilion lagi dalam pembayaran berperingkat, 75 peratus yang dibayar selama lima tahun akan datang.

AskBio yang berpangkalan di North Carolina ditubuhkan pada 2001, mengkhusus dalam penyelidikan, pembangunan dan pengilangan terapi gen dan mempunyai rawatan akan datang bagi penyakit Parkinson dan kegagalan jantung.

Pelaburan Bayer sebelumnya dalam bioteknologi termasuk pembelian terapi sel BlueRock Therapeutics kira-kira AS$1 bilion pada 2019.

Syarikat Jerman itu kerugian 9.5 bilion euro pada suku kedua tahun ini, melibatkan kos perundangan selepas pembelian kontroversinya ke atas Monsanto sekitar AS$63 bilion pada 2018.

Ia menjangkakan akan menjimatkan 1.5 bilion euro pada 2024, daripada 2.6 bilion euro penjimatan tahunan ia jangka akan hasilkan dari 2022, kata Bayer pada awal Oktober lalu. – AFP