Bayern ghairah pertahan gelaran liga juara-juara

PARIS, 22 OKT – Bayern Munich memulakan kempen mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara (UCL) mereka dengan menewaskan Atletico Madrid 4-0 semalam.

Sementara Liverpool dan Manchester City turut menang di perlawanan pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara tapi Real Madrid menderita selepas kekalahan mengejutkan semalam.

Madrid, selaku juara Eropah 13 kali, tewas dengan kekalahan 3-2 menentang Shakhtar Donetsk, menunjukkan sejauh mana pasukan Zinedine Zidane berada sekarang dari standard dari pasukan Bayern.

Dua bulan selepas meledak gol kemenangan Bayern ke atas Paris Saint-Germain di perlawanan akhir musim lalu di Lisbon, Kingsley Coman meletakkan Bayern di depan menentang Atletico dalam saingan Kumpulan A dan sekali lagi menemui sasaran untuk jaringan keempat Bayern.

Leon Goretzka dan Corentin Tolisso turut menjaringkan gol di Stadium Allianz Arena yang kosong tanpa penonton.

Aksi penyerang Bayern Munich, Kingsley Coman ketika menjaringkan gol keempat melepasi penjaga gol Atletico Madrid, Slovenia, Jan Oblak semasa perlawanan Kumpulan A Liga Juara-Juara, di Munich, Jerman semalam. – AFP

“Gol kemenangan pada final musim lalu memberi perangsang, tetapi ia sudah berlalu dan kami mempunyai gol-gol baharu musim ini,” kata Coman.

Ia adalah kemenangan Liga Juara-Juara ke-12 berturut-turut Bayern manakala Atletico menyamai rekod kekalahan terburuk mereka di bawah Diego Simeone.

Bayern akan bertandang ke Russia bertemu Lokomotiv Moscow, yang bangkit mengikat Red Bull Salzburg 2-2 semalam.

Coman, yang menjaringkan gol menerusi tandukan di final Liga Juara-Juara musim lalu pada 59 hari yang lalu di Lisbon, menjaringkan gol pembukaan dan gol keempat untuk Bayern serta memberikan assist untuk gol kedua.

Jaringan oleh pemain tengah Leon Goretzka dan Corentin Tolisso, melakukan rembatan dari jarak jauh yang tidak dapat dihentikan dari luar kotak, menambah lagi penderitaan Atletico di Munich.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang baik di awal perlawanan dengan Luis Suarez hanya gagal menemukan sentuhan untuk menjaringkan gol menerusi hantaran lintang dari pertahanan kiri Atletico, Renan Lodi, sementara percubaan pemain pertahan Bayern, Niklas Suele pula terkena tiang. – AFP