Bayern hampiri kejuaraan

BERLIN, 27 MEI – Joshua Kimmich menggambarkan gol kemenangannya sebagai amat penting selepas pendahulu Bundesliga Bayern Munich menewaskan Borussia Dortmund 1-0, sekali gus melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat itu kepada tujuh mata dengan hanya enam perlawanan berbaki.

Jaringan Kimmich hadir sejurus sebelum rehat di Signal Iduna Park di mana tuan rumah Dortmund terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Ia cukup penting. Saya lihat ke sekeliling untuk melihat sama ada semua orang faham betapa pentingnya ia,” kata Kimmich mengenai jaringannya.

Kapten Bayern Manuel Neuer turut bersetuju dengan pandangan rakan sepasukannya itu. “Ia petanda yang amat penting,” kata penjaga gol Bayern itu.

Bayern menang 4-0 ketika pertemuan di Munich pada November dan mereka meneruskan rekod cemerlang ke atas Dortmund yang menghuni tangga kedua liga itu.

Kini hanya Bayern mampu menentukan apa yang akan terjadi. Ada ketika perlawanan ditentukan oleh saat menakjubkan dan itu yang terjadi hari ini,” kata kapten Dortmund Mats Hummels.

Kimmich menjaringkan gol tunggal perlawanan dua minit sebelum rehat apabila dia melakukan cip melepasi penjaga gol Dortmund Roman Buerki dari jarak 18 meter. Ia adalah gol liga ketiga pemain Jerman itu yang dijaringkan dari luar kotak penalti musim ini.

Sementara itu, Bayer Leverkusen tergelincir ke tangga kelima selepas dibelasah 4-1 di laman sendiri oleh Wolfsburg, dengan pemain pertahanan Marin Pongracic meledak dua gol. – AFP

Aksi penjaga gawang Dortmund, Roman Buerki (kanan) gagal menangkap bola selepas Kimmich berjaya menjaringkan gol tunggal pada perlawanan tersebut, kelmarin. – AFP