Bayern henti kejar Sanchez

BERLIN, 18 Julai – Bos Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge telah mengesahkan bahawa mereka telah menghentikan minat mereka untuk mendapatkan penyerang Arsenal, Alexis Sanchez untuk musim depan.

Selepas ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, mencapai impiannya untuk menandatangani pemain perancang Colombia, James Rodriguez melalui pinjaman dari Real Madrid minggu lepas, Bayern telah menghentikan pemburuan mereka bagi Sanchez.

“Kami tidak lagi terlibat. Kami sudah membuat persetujuan dengan jurulatih kami bahawa kami tidak akan menambah (pemain-pemain baru) di bahagian serangan. Ia tidak akan masuk akal lagi,” kata pengerusi Bayern, Rummenigge kepada majalah Jerman, Kicker.

Bayern telah dilaporkan bersaing dengan Manchester City untuk mendapatkan khidmat Sanchez, 28, penjaring terbanyak Chile, yang hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama Arsenal, tetapi masih belum membuat persetujuan mengenai kontrak lanjutan bersama Gunners.

Beberapa laporan di Britain telah menyatakan bahawa dia mungkin dibeli dengan harga mencapai 80 juta pound, tetapi pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata ia tidak akan terjadi pada minggu lepas. – AFP