BERLIN, 18 MEI – Robert Lewandoski berjaya menjaringkan gol ke-26 musim ini dengan pendahulu liga Bayern Munich meneruskan kejuaraan Bundesliga mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Union Berlin dalam perlawanan pertama mereka tanpa kehadiran peminat dalam dua bulan, kelmarin.
Lewandowski menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti dan pemain pertahanan, Benjamin Pavard, menjaringkan gol tandukan di minit akhir bagi Bayern di Berlin. Bundesliga Sabtu lalu menjadi liga utama Eropah pertama yang menyambung semula musim mereka semasa pandemik koronavirus.
Pemain bintang Poland, Lewandowski, yang terlepas dua perlawanan akibat kecederaan sebelum liga digantungkan pada pertengahan bulan Mac, mencatat 40 gol bagi kempen musim ini di kesemua kejohanan ketika Bayern mengembalikan kelebihan empat mata ke atas Borussia Dortmund.
Borussia Dortmund, yang menewaskan Schalke 4-0 di perlawanan seteru tempatan, Ruhr, Sabtu lalu, menjadi tuan rumah Bayern dalam perlawanan penting pada 26 Mei, satu lagi perlawanan yang akan dilangsungkan tanpa kehadiran peminat sejajar dengan garis panduan kebersihan liga yang ketat.
“Apa yang boleh saya katakan, setiap minit adalah sangat panjang apabila tiada peminat dan tiada keriuhan,” kata ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer.
“Ia adalah atmosfera yang berbeza dengan apa yang anda jangkakan di Alten Forsterei, tetapi ia adalah mengenai motivasi dan kelakuan.
“Kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi gembira dapat menguasai permainan dan dapat mengutip tiga mata.”
Union sebelum ini mengejutkan pendahulu, Dortmund dan Borussia Moenchengladbach pada permulaan musim, yang mempunyai peminat yang bersemangat di stadium mereka, Alten Forsterei. – AFP


































