BERLIN, 17 Sept – Robert Lewandowski (gambar) menjaringkan dua gol dalam penampilan ke-100 peribadinya di Bundesliga untuk Bayern Munich, yang mengetepikan masalah dalaman dengan membelasah Mainz 4-0 semalam.
Lewandowski kini sudah menjaringkan 82 gol untuk Munich di tengah-tengah laporan bahawa dia mahu menyertai Real Madrid musim depan, tetapi pengerusi Bayern, Uli Hoeness menafikan dakwaan akhbar berbahasa Sepanyol itu.
Kemenangan besar itu meletakkan Bayern di tangga kedua liga teratas Jerman, satu mata di belakang Hanover 96, yang meraih status pendahulu selepas empat perlawanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Hamburg.
Ini adalah persembahan yang lebih bertenaga dari Bayern berbanding dalam kekalahan 2-0 minggu lalu di Hoffenheim dan kemenangan kurang menarik 3-0 di gelanggang sendiri ke atas Anderlecht dalam Liga Juara-Juara.
“Saya gembira. Kami mempunyai gandingan bagus dan mencipta banyak peluang,” kata jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti.
Arjen Robben mengecam persembahan Bayern menentang pasukan dari Belgium itu, sementara Lewandowski menambah dengan kritikan ke atas dasar perbelanjaan kelab.
Itu hadir selepas Thomas Mueller mengadu bahawa dia diletakkan di bangku simpanan dalam kemenangan 2-0 di Werder Bremen.
Bagaimanapun, kesemua tiga pemain menjaringkan gol ketika menentang Mainz di Allianz Arena.
Mueller membuka jaringan hanya selepas 11 minit apabila dia menyudahkan hantaran Robben dalam serangan pertama Bayern.
Pemain sayap Belanda itu kemudian menambah jaringan kedua pada minit ke-23 apabila hantaran Joshua Kimmich memberikannya ruang di belakang pertahanan sebelum merembat masuk bola.
Lewandowski kemudian menggandakan kekecewaan Mainz dengan dua gol hebat. Gol pertama Lewandowski terhasil selepas menerima hantaran lintang Mueller pada minit ke-50.
Lewandowski kemudian mendapat gol keduanya dan keempat Bayern menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Mainz. – AFP