Bayern mesti kerja keras kekang messi

LISBON, 12 OGOS – Pemain tengah Bayern Munich, Leon Goretzka berkata gergasi Jerman itu sedang berusaha untuk mencari jalan mengekang legenda Barcelona, Lionel Messi menjelang pertemuan di suku akhir Liga Juara-Juara.

“Beribu-ribu orang sebelum saya telah mencuba mencari jawapan kepada soalan tersebut,” Goretzka menjawab selepas ditanya mengenai bagaimana menghentikan Messi.

“Ia adalah baik – selepas bermain menentang Ronaldo (bintang Juventus) beberapa kali – untuk bermain menentang pemain yang hebat sejak sedekad.

“Itu boleh dilakukan secara berkumpulan,” pemain tengah berusia 25 tahun berkata mengenai Messi, “Kerana dia merupakan pemain bola sepak yang berbakat. Saya tidak tahu, tetapi kami mesti memaksa diri kami untuk bermain menantang mereka.” Messi menjaringkan gol ke-31 buat musim ini pada Sabtu dan sedang memburu trofi Liga Juara-Juara buat kali kelima dalam kariernya bersama Barcelona.

Bayern yang memburu kejuaraan treble telah memenangi kesemua 13 perlawanan sejak bola sepak disambung semula.

Mereka menunjukkan prestasi yang mengagumkan pada Sabtu lalu apabila Robert Lewandowski, penjaring terbanyak di Liga Juara-Juara, menjaringkan dua gol dan mencipta dua jaringan gol dalam perlawanan kelompok 16 terakhir pusingan kedua menentang Chelsea dan menang dengan agregat 7-1. Bayern yang telah merangkul piala Bundesliga kali ke-8 dan menjulang Piala Jerman, tetapi Goretzka berkata kemena-ngan ke atas Barcelona akan menjadi hadiah yang terbaik. “Ia bukan mudah. Kami di sini di Portugal dan bersedia untuk perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara,” katanya.

“Kami sudah bersedia. Perlawanan kalah mati sangat menarik.” Ketika Barcelona dipenuhi dengan pemain bintang berserta Messi, Goretzka berkata Bayern bukan setakat jaringan Lewandowski semata-mata.

“Pada masa ini, kami bermain sebagai satu unit, ditambah dengan pemain individu yang berkualiti.

“Kami mempunyai perancangan yang jelas dan intensiti kami tanpa bola boleh menjadikan perbezaan.” – AFP

Reaksi Leon Goretzka dan Robert Lewandowski ketika menentang Chelsea. Goretzka mengatakan bahawa Bayern Munich sedang berusaha untuk mencari jalan mengekang Lionel Messi menjelang pertemuan di suku akhir Liga Juara-Juara. – AP