Bayern Munich langkah kanan

LONDON, 26 FEB – Serge Gnabry membantu Bayern Munich untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara di mana permain kebangsaan Jerman tersebut memberikan inspirasi apabila berjaya menjaringkan dua gol menentang Chelsea 3-0 di pusingan pertama kelompok 16 terakhir di Stamford Bridge Selasa lalu.

Gnabry pernah menghukum Tottenham dengan menjaringkan empat gol ketika Bayern Munich membelasah Tottenham 7-2 di Utara London pada awal musim ini dan bekas pemain sayap Arsenal tersebut kembali ke London untuk memberi tekanan kepada Chelsea.

Pemain berusia 24 tahun tersebut kurang menyerlah ketika mewakili Arsenal dan gagal menunjukkan potensi sebenar semasa dipinjam ke kelab West Bromwich Albion.

Tetapi bintang Bayern tersebut kini menjadi pemain utama Bayern Munich dan dua jaringan gol beliau dalam masa tiga minit memberikan harapan buat pasukan kendalian Hansi Flick untuk mara ke suku akhir.

Robert Lewandowski berjaya menjaringkan gol ketiga sebelum pemain pertahanan Chelsea, Marcos Alonso dibuang padang pada minit ke-83.

“Tiga gol sepatutnya memberikan anda keyakinan. Tapi kami mesti bersedia untuk perlawanan kedua dan kami tidak boleh leka.”

“Kita melihat bagaimana Liverpool mengalahkan Barcelona, kami tahu kami mesti berhati-hati dan fokus.”

Tahun ini Bayern menempuh prestasi tidak menentu, tetapi kembali bertenaga setelah pemecatan pengurus yang tidak digemari, Niko Kovac dan kini telah mengalahkan Chelsea dalam semua perlawanan. – AFP

Reaksi pemain kebangsaan Jerman, Serge Gnabry apabila menjaringkan gol kedua ketika menentang Chelsea di saingan Liga Juara-Juara kelmarin di Stamford Bridge. – AP