Bayern Munich tundukkan Freiburg

BERLIN, 7 NOV – Bayern Munich membuka pendahuluan empat mata di puncak Bundesliga kelmarin dengan kemenangan 2-1 di gelanggang sendiri ke atas Freiburg, yang mengalami kekalahan pertama mereka dalam mana-mana pertandingan musim ini.

Borussia Dortmund yang berada di tempat kedua kemudian terlepas peluang untuk mengurangkan kelebihan Bayern apabila tewas 2-1 di RB Leipzig.

Di Munich, Leon Goretzka meletakkan Bayern di hadapan selepas setengah jam di Allianz Arena sebelum Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-13 Bundesliga musim ini dengan perlawanan berbaki 15 minit.

Bayern telah menjaringkan 100 gol tahun ini, kurang satu daripada rekod untuk kelab Jerman, yang dibuat apabila Cologne menjaringkan 101 gol pada tahun 1977.

Freiburg, yang berada di tangga ketiga liga utama Jerman, menimbulkan sedikit kegelisahan dalam barisan Bayern apabila pemain ganti, Janik Haberer akhirnya menewaskan Manuel Neuer pada masa kecederaan.

Aksi pemain pertahanan Bayern, Lucas Hernandez dan pemain tengah Freiburg, JeongWoo-Yeong bergelut untuk mendapatkan bola dalam perlawanan divisyen pertama Bundesliga di Munich kelmarin. – AFP

Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann gembira dengan ‘kemenangan yang amat penting menentang pencabar langsung.’

“Freiburg bertahan dengan baik di dalam kotak, akhirnya, dua gol sudah memadai, tetapi kami boleh menjaringkan lebih banyak gol,” tambah Nagelsmann.

Di bawah Christian Streich, jurulatih Bundesliga yang paling lama berkhidmat, Freiburg musim ini menewaskan pasukan Liga Juara-Juara, Dortmund dan Wolfsburg serta mengikat RB Leipzig dengan keputusan seri.

Namun mereka gagal dalam usaha untuk meraih kemenangan pertama di laman lawan menentang Bayern, sebaliknya mengalami kekalahan ke-19 serta tiga keputusan seri, dalam 22 percubaan.

Freiburg mempunyai pertahanan terbaik liga, yang hanya dibolosi sembilan gol dalam 11 perlawanan. – AFP