BERLIN, 20 DIS – Presiden Bayern Munich, Herbert Hainer semalam mengetepikan bidaan untuk mendapatkan penyerang Dortmund, Erling Haaland dan berharap penyerang Robert Lewandowski akan menamatkan kariernya bersama kelab gergasi Bavaria.
Hainer memberitahu Sport1 bahawa FC Bayern tidak akan menandatangani Haaland ‘disebabkan kami mempunyai Robert Lewandsowski.’
Penyerang Poland itu, berusia 34 tahun pada Ogos depan, mempunyai kontrak Bayern sehingga 2023 dan Hainer telah ‘memberitahunya berkali-kali’ bahawa pegawai kelab ‘amat menyanjunginya.’
Haaland, 21, mempunyai kontrak dengan Dortmund sehingga 2024, namun dia boleh meninggalkan kelab pada 2022 apabila klausa pembebasan dalam kontrak, dilaporkan berharga kira-kira 80 juta euro, menjadi aktif.
Bintang Norway itu telah menjaringkan 76 gol dalam 75 perlawanan Dortmund sejak Januari 2020 dan dianggap salah seorang pemain paling bernilai dalam bola sepak Eropah.
Mino Raiola, ejen Haaland, baru-baru ini berkata ‘terdapat peluang besar Erling akan meninggalkan kelab’ pada akhir musim, menamakan Bayern, Real Madrid, Barcelona dan Manchester City sebagai destinasi yang mungkin disertai.
Namun Hainer telah menjelaskan bahawa Bayern amat gembira dengan Lewandowski, yang menyertai pasukan berdasarkan pemindahan percuma dari Dortmund pada 2014.
Lewandowski ialah penjaring terbanyak Bundesliga musim ini dengan 19 gol dan telah menjaringkan 324 kali dalam 354 penampilan Bayern.
Dia meledak gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Wolfsburg untuk menetapkan rekod baharu 43 gol Bundesliga dalam tahun kalendar. – AFP