Bayern pecat jurulatih kerana isu perkauman

MUNICH, 18 OGOS – Bayern Munich, yang akan bertemu Lyon di Liga Juara-Juara separuh akhir esok, telah memecat jurulatih dari pasukan akademi mereka di tengah-tengah siasatan polis mengenai tuduhan isu perkauman.

Jurulatih yang tidak dinyatakan itu telah ditamatkan kontraknya ‘secara persetujuan bersama’, kenyataan dikeluarkan oleh Bayern lewat kelmarin.

Pemecatan tersebut adalah ‘keputusan pertama dalam siasatan yang sedang dijalankan’ di padang latihan akademi, tambah kenyataan. Ketua Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge minggu lalu berang selepas mendengar pertuduhan tersebut, pertama kali dilaporkan oleh penyiaran ARD.

Jurulatih berkenaan dituduh membuat komen berunsur perkauman dan diskriminasi dalam beberapa siri pesanan, yang pada mulanya dinafikannya tetapi kemudian mengaku dengan tindakan tersebut, menurut media Jerman. Dia telah menjadi jurulatih skuad remaja di kelab itu sejak tahun 2003 dan telah mengendalikan pasukan remaja sejak 2006, menurut Der Spiegel.

Dia telah membuat komen-komen diskriminasi berdasarkan warna kulit, kewarganegaraan, agama dan lain-lain, menurut Spiegel. Komen-komen tersebut ‘tidak sepadan dengan nilai-nilai yang melambangkan Bayern Munich’, menurut Rummenigge selepas polis Munich membuka kertas siasatan mengenai pertuduhan itu.

Pada bulan Jun, tidak lama selepas kematian warga Amerika Syarikat berkulit hitam, George Floyd di tangan anggota polis, keseluruhan pasukan telah dilihat memakai baju T dengan slogan ‘Black lives matter’ dan ‘Red card to racism’.– AFP