BERLIN, 24 APRIL – Bayern Munich dinobatkan sebagai juara Bundesliga untuk musim ke-10 berturut-turut kelmarin selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas pasukan yang berada di tangga kedua, Borussia Dortmund.
Gol pada separuh masa pertama oleh Serge Gnabry dan Robert Lewandowski membolehkan Bayern menguasai perlawanan di Arena Allainz sebelum Emre Can menyempurnakan sepakan penalti selepas rehat buat Dortmund.
Namun pemain remaja, Jamal Musiala merembat masuk gol lewat ketiga untuk membolehkan mereka meraikan kejayaan lebih awal bersama penyokong sendiri.
Ini adalah kali pertama sebuah kelab memenangi 10 kejuaraan berturut-turut dalam salah satu daripada lima liga teratas Eropah.
Kemenangan kelapan berturut-turut pasukan Bavaria itu ke atas Dortmund membolehkan Bayern mendahului 12 mata kini dengan berbaki tiga perlawanan.
Kejuaraan itu menamatkan musim tidak menentu buat Bayern, yang di-singkirkan daripada Liga Juara-juara di peringkat suku akhir oleh Villarreal pada awal bulan ini.
Bayern menguasai separuh masa pembukaan dan Gnabry melakukan rembatan ke penjuru atas dari tepi kotak penalti untuk memberikan mereka mata pendahuluan pada minit ke-15.
Gnabry mempunyai percubaan kedua yang dinafikan sebelum Lewandowski menggandakan kelebihan pada minit ke-11 sebelum separuh masa pertama tamat.
Ia adalah gol ke-27 penyerang Poland itu dalam 26 perlawanan menentang Dortmund, yang ditinggalkannya untuk menyertai Bayern pada 2014.
Tetapi masa hadapannya masih diragui, dengan kontrak Lewandowski akan berakhir pada tahun hadapan dan Barcelona dilaporkan berminat untuk membawanya ke Camp Nou.
Dortmund menyerang balas pada awal separuh masa kedua apabila Can menyempurnakan sepakan penalti selepas Marco Reus dikasari di kawasan tersebut.
Lewandowski memenangi persaingan bintang penyerang Bundesliga apabila Erling Haaland, yang telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City gagal menjaringkan gol walaupun memaksa penjaga gol Bayern, Manuel Neuer menyelamatkan dua gol. – AFP