Bayern perlu rombak skuad

BERLIN, 15 Mac – Bayern kembali menerajui Bundesliga tetapi ahli-ahli lembaga di kelab itu merancang untuk merombak skuad selepas tewas di tangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Jurgen Klopp, menyingkirkan Bayern daripada pentas Eropah baru-baru ini dengan keputusan 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Allianz Arena.

“Bayern perlu melakukan perubahan dengan segera untuk bersaing dalam merebut piala,” menurut akhbar harian Jerman, Bild dan menurut laporan, barisan skuad yang tewas kepada Liverpool itu secara purata berusia 30 tahun.

Pengulas dari Jerman bersetuju dengan bekas jurulatih Bayern, Louis van Gaal yang sebelum ini berkata, bos-bos di kelab itu gagal untuk memperbaharui skuad tersebut.

Bayern gagal menemui jawapan apabila Sadio Mane tidak mensia-siakan peluang yang dihasilkan menerusi kecuaian penjaga gol Jerman, Manuel Neuer untuk menjaringkan gol pembukaan sebelum Joel Matip menjaringkan gol sendiri untuk membantu pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan.

Reaksi pemain Bayern Munich selepas tewas kepada Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini. Skuad Bayern dijangka akan dirombak pada musim panas nanti. – AP

Virgil van Dijk memusnahkan harapan Bayern selepas menanduk masuk gol sebelum Mane sekali lagi merobek barisan pertahanan Bayern.

Robert Lewandowski, 30, penjaring terbanyak Bundesliga musim 2018/2019, gagal meledak gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut bagi peringkat kalah mati di pentas Eropah, mengadu bahawa Bayern terlalu bertahan.

Buat pertama kali sejak 2011, skuad gergasi Bavarian itu gagal mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Proses rombakan akan dilaksanakan tatkala pemain sayap Arjen Robben dan Franck Ribery, masing-masing berusia 35 tahun dan Rafinha, 33 tahun, yang kontrak mereka berakhir pada Jun ini.

“Jadi ia adalah betul bahawa Bayern dibarisi dengan tonggak serangan seperti Hernandez, Pavard, Hudson-Odoi dan Werner,” menurut Bild, merujuk kepada pemain yang diperlukan Bayern. – AFP