BERLIN, 16 Sept – Gol daripada Arjen Robben dan James Rodriguez membantu Bayern Munich mempertahankan cengkaman mereka di kedudukan teratas liga setelah menewaskan Bayer Leverkusen 3-1, sekali gus meletakkan lawan mereka di ambang krisis di awal musim.
Dengan tiga kekalahan dalam tiga perlawanan, Leverkusen telah memulakan permulaan musim terburuk mereka dalam kempen Bundesliga.
Leverkusen meneruskan kebangkitan mereka apabila diberikan sepakan penalti pada minit kedua selepas bola terkena tangan Thiago Alcantara.
Penjaga gol Manuel Neuer bagaimanapun menafikan sepakan penalti Kevin Volland, namun sepakan itu diarah dilakukan semula selepas didapati diganggu pemain lain sebelum Wendel menyempurnakan peluang itu.
Bagaimanapun, kegembiraan Leverkusen tidak bertahan lama selepas Corentin Tolisso menyamakan jaringan pembukaan empat minit kemudian dan Robben meletakkan Bayern di depan pada minit ke-20.
“Hari ini tidak mudah, tetapi kami bernasib baik bangkit dengan pantas. Saya tidak mahu mengkritik rakan sepasukan saya tapi setiap pemain perlu kuat apabila ditekan,” kata Robben kepada Sky.
Nasib Leverkusen nampaknya semakin kabur apabila Karim Bellarabi diminta keluar padang kerana melakukan terjahan keras ke atas Rafinha 10 minit sebelum perlawanan berakhir dan James Rodrigues menambah gol ketiga Bayern pada minit ke-89.
Sementara itu, Schalke turut tewas tiga kali dalam tiga perlawanan, selepas mereka berdepan krisis mendalam setelah tewas 1-2 di tangan Borussia Moenchengladbach.
Mimpi buruk Schalke pada awal musim berterusan apabila Matthias Ginter menjaringkan gol pendahuluan Gladbach selepas dua minit perlawanan bermula. Skuad tuan rumah seterusnya menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan menjaringkan gol menerusi Alassane Plea dan Thorgan Hazard. – AFP