Bayern rangkul gelaran Bundesliga ke-8 berturut-turut

BERLIN, 17 JUN – Bayern Munich meraih gelaran Bundesliga kelapan mereka berturut-turut kelmarin ketika jaringan menarik pada separuh masa pertama perlawanan oleh Robert Lewandowski menyaksikan mereka menuntut kemenangan 1-0 ke atas Werder Bremen.

Bayern disahkan sebagai juara liga Jerman untuk kali ke-30 dalam sejarah kebanggaan kelab itu untuk mengekalkan pegangan perisai Bundesliga dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Lewandowski meledakkan gol dua minit sebelum tamat separuh masa pertama perlawanan, tetapi Bayern terpaksa bertahan pada 11 minit terakhir perlawanan selepas pemain sayap kirinya, Alphonso Davies dikeluarkan padang selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Pada penghujung 45 minit pertama perlawanan dikuasai oleh pasukan Bremen, Bayern berjaya menerobos pertahanan Bremen ketika Jerome Boateng membuat hantaran kemas kepada Lewandowski untuk menjaringkan satu-satunya gol.

Ini adalah gol liga ke-31 buat penyerang Poland musim ini, kerjaya yang terbaik, menjadikannya terus terpilih sebagai penjaring terbanyak liga buat kali kelima.

Ketua jurulatih Hansi Flick mendapat gelaran Bundesliga pada musim pertamanya bersama Bayern setelah menyertainya November lalu. – AFP

Reaksi pemain Bayern Munich ketika meraikan kemenangan dengan memakai baju angka lapan sebagai lapan kali memenangi gelaran liga berturut-turut selepas perlawanan Bundesliga antara SV Werder Bremen dan FC Bayern Munich, semalam di Bremen, Jerman. – AFP