Bayern rangkul gelaran liga ketujuh berturut-turut

BERLIN 19 Mei – Pemain veteran Bayern Munich, Arjen Robben dan Frank Ribery mengalirkan air mata pada hari terakhir bersama kelab yang baharu dinobatkan sebagai juara Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut.

Pemain itu akan meninggalkan Bayern hujung musim ini selepas lebih 10 tahun beraksi bersama kelab gergasi Jerman itu. Apa yang menarik pada aksi terakhir denagn jersi Bayern, mereka turut menjaringkan gol ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1, semalam.

“Selepas aksi terakhir seperti ini, terlalu banyak emosi perlu saya lalui meliputi seluruh badan rasanya. Ia tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata dan dalam waktu sama tidak boleh juga mengelak daripada melaluinya,” kata Robben.

“Ia satu detik istimewa apabila hari terakhir di sini kami berjaya merangkul juara liga di depan kehadiran ahli keluarga saya yang datang dari Perancis,” kata Ribery pula.

Pemergian pemain berpengalaman itu juga petanda Bayern sudah bersedia untuk merombak pasukan secara besar-besaran dengan membawa masuk generasi baharu yang lebih muda dan bertenaga.

(Dari kiri) Robben, Rafinha dan Ribery menjulang trofi Bundesliga selepas menewaskan Frankfurt di Munich, kelmarin. – AFP

Presiden kelab Uli Hoeness sendiri mengakui Bayern akan membuat pelaburan terbesar dalam sejarah selepas ini dengan muka baharu dijangka membarisi skuad itu musim depan.

Anggota skuad sedia ada seperti Leon Goretzka dan Serge Gnabry akan diberi peranan lebih besar untuk mengemudi kelab selain mempertaruhkan dua pemain baharu seperti Benjamin Pavard dan Lucas Hernandez.

Beberapa pemain berbakat besar seperti Timo Werner dari RB Leipzig, pemain pertahanan, Matthijs De Ligt dari Ajax dan penjaga gol, Alexander Nuebel dari Schalke turut dikaitkan dengan Bayern sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Karl-Heinz Rummenigge berkata, pihaknya juga sedang mencari pemain sayap baharu untuk memperkuatkan cabaran kelab tersebut.

“Memandangkan kami kehilangan Robben dan Ribery, kami memerlukan pemain sayap alternatif untuk bergandingan dengan pemain berusia 18 tahun dari Kanada, Alphonso Davies,” kata Rummenigge bulan lalu.

Pilihan yang ada setakat ini adalah bintang berbakat Chelsea Callum Hudson-Odoi yang pernah diburu Bayern ketika jendela perpindahan Januari lalu.

Barisan depan Bayern pula dikemudikan Kingsley Coman, 22, dan Gnabry, 23, untuk berganding dengan Niklas Suele, 23 yang dianggap sebagai pengganti Mats Hummels dan Jerome Boateng di benteng pertahanan. Leon Goretzka ketika ini pula menggantikan Thomas Mueller. – AFP