Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern runsing Ribery cedera

    BERLIN, 3 Okt – Bayern Munich semalam mengesahkan pemain sayap veteran Franck Ribery tidak akan beraksi ‘dalam masa beberapa minggu’ selepas mengalami koyak di bahagian ligamen lutut.

    Pemain berusia 34 tahun itu terpaksa dibantu keluar pada minit ke-62 dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 Bayern di Hertha Berlin Ahad lalu dan media Jerman menjangka pemain dari Perancis itu tidak akan beraksi sehingga tiga bulan.

    Bayern berkata kecederaan lutut Ribery itu akan ‘dirawat secara konservatif dan direhatkan selama beberapa minggu dengan menggunakan splin’. Itu bermakna dia tidak akan menjalani pembedahan.

    Ribery sudah memulakan pemulihan tetapi terapi selanjutnya dan latihan akan ditentukan pada satu tarikh yang akan ditentukan bergantung ke atas proses penyembuhan, kata juara Bundesaliga itu.

    “Kami bersimpati Franck mengalami kecederaan. Kami mendoakannya untuk sembuh dengan segera,” kata pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

    Ribery (tengah) dibantu keluar padang selepas mengalami kecederaan semasa menentang Hertha Berlin di Munich pada 1 Oktober lalu. – AFP

    Sebelum ini, badan penyiaran Sky melaporkan Ribery tidak akan beraksi diantara dua dan tiga bulan.

    Kecederaan tersebut adalah satu tamparan kepada pemain dari Perancis itu yang akan mansuh kontrak pada akhir musim ini dan Bayern sudah beraksi tanpa kapten dan penjaga gol Manuel Neuer sehingga Januari depan kerana mengalami keretakan kaki.

    Bagi perlawanan liga kedua berturut-turut, Bayern mensia-siakan pendahuluan 2-0 ketika jaringan Mats Hummels dan Robert Lewnadowski dibatalkan oleh Ondrej Duda dan Salomon Kalou dari Hertha.

    Situasi itu meletakkan gergasi Bavaria itu ketinggalan lima mata dari pendahulu Borussia Dortmund. Jurulatih sementara, Willy Sagnol yang mengambil alih tempat Carlo Ancelotti yang dipecat pada Khamis lalu dalam kekalahan 3-0 Liga Juara-Juara di Paris Saint-Germain.

    Bekas jurulatih Dortmund, Thomas Tuchel dan bos Hoffenheim, Julian Nagelsmann adalah antara jurulatih pilihan dan disebut-sebut untuk menggantikan Ancelotti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda