BERLIN, 20 JULAI – Bayern Munich kelmarin mengumumkan penandatanganan pemain pertahanan Juventus, Matthijs de Ligt dengan perjanjian selama lima tahun.
“Matthijs de Ligt ialah sasaran utama kami. Dengan perpindahan seperti ini, cita-cita besar yang kami ada akan lebih mudah dicapai. Barisan pemain kami kini semakin lengkap,” kata presiden Bayern, Herbert Heiner.
Sementara itu, laporan dalam media Jerman meletakkan kos kepada Bayern untuk mendapatkan pertahanan tengah Belanda itu pada nilai AS$82 juta.
Bayern akan menggunakan hasil pendapatan daripada perpindahan penyerang Poland, Robert Lewandowski ke Barcelona, yang dianggarkan lebih 45 juta euro itu untuk membantu membiayai perpindahan de Ligt. Pemergian Lewandowski disusuli kehadiran Sadio Mane dari Liverpool.
De Ligt menyertai akademi Ajax pada usia sembilan tahun dan membuat penampilan pertamanya untuk juara Belanda pada usia 17 tahun.
Dia juga merupakan kapten pasukan termuda bagi Ajax. Pada 2019 selepas membuat 117 penampilan dengan jaringan 13 gol serta meraih gelaran liga dan piala liga berganda, dia kemudiannya berpindah ke Juventus.
Dia mengumpul lebih banyak trofi dengan gelaran Serie A, piala Itali dan Piala Super bersama kelab gergasi Itali itu.
Di pentas antarabangsa, de Ligt merupakan pemain pertama Belanda yang paling muda sejak 1945, dan telah mencipta 38 penampilan untuk pasukan kebangsaannya serta menjaringkan dua gol.
Dia turut memberitahu bahawa pendekatan Bayern untuk mendapatkan khidmatnya ialah sangat tulen. – AFP