Bayern sasar gelaran treble musim ini

BERLIN, 21 JUN – Bayern Munich mengintai peluang untuk merangkul gelaran treble musim ini selepas Robert Lewandowski muncul sebagai pemain asing yang menjaringkan gol terbanyak dalam saingan Bundesliga ketika membantu pasukan itu menewaskan Freiburg 3-1, malam tadi.

Pada aksi tanpa penonton di Stadium Allianz Arena itu, Joshua Kimmich membuka tirai jaringan buat Bayern sebelum Lewandowski meledak dua gol sebelum tamat babak pertama perlawanan.

Dua gol itu menyaksikan dia mengumpul keseluruhan 33 gol dalam saingan liga musim ini dan 48 gol dalam semua kejohanan.

Penyerang antarabangsa Poland itu memintas rekod dipegang penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang pada musim 2016/2017 ketika itu beraksi bersama Borussia Dortmund dengan menjaringkan 31 gol. Bayern kini memburu gelaran treble dengan pasukan itu akan berdepan Leverkusen dalam aksi final Piala Jerman pada 4 Julai dan antara pasukan pilihan untuk muncul juara Liga Juara-Juara yang akan kembali bersambung pada Ogos.

“Jika anda mempunyai keyakinan, itu akan menjadi suntikan tambahan untuk anda terus melakar kemenangan,” kata jurulatih Bayern, Hansi Flick selepas skuad bimbingannya mencatat 15 kemenangan berturut-turut.

“Saya harap kami boleh kekalkan rekod ini untuk tempoh yang lama.

“Masih banyak lagi yang kami perlu lakukan. Matlamat utama selepas ini adalah untuk menjadi juara dalam Piala Jerman dan selepas itu kami akan cuba untuk meraih gelaran Liga Juara-Juara pula.”

Sementara itu, Dortmund mengesahkan gelaran naib juara liga selepas menewaskan RB Leipziq 2-0 manakala Werder Bremen hampir pasti tersingkir daripada saingan utama selepas tewas 1-3 kepada Mainz. – AFP

Reaksi Lewandowski ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang SC Freiburg di Munich, kelmarin. – AFP