Bayern singkir Cottbus

BERLIN, 13 OGOS – Robert Lewandowski tersenarai sebagai penjaring dan Lucas Hernandez membuat penampilan pertamanya ketika Bayern Munich dengan mudah mara ke pusingan kedua Piala Jerman dengan kemenangan 3-1 ke atas pasukan divisyen keempat, Energie Cottbus awal pagi tadi.

Di tengah-tengah kebimbangan mengenai jumlah jaringan dua digit, Cottbus membuktikan semua orang silap apabila berjaya mengekang Bayern selama setengah sejam sebelum Lewandowski membuka jaringan dari jarak dekat.

Lewandowski dan Kingsley Coman masing-masing mendapati percubaan mereka terkena gawang sebelum rehat, tetapi Coman berjaya menggandakan jaringan dengan satu rembatan jarak jauh pada minit ke-65.

Lewandowski kemudian melengkapkan kemenangan dengan jaringan ketiga ketika perlawanan berbaki enam minit, sekali gus merekodkan Bayern tanpa tewas dalam pusingan pertama kejohanan itu sejak 1994.

Masih terdapat masa untuk penandatanganan rekod kelab, Hernandez, keluar dari bangku simpanan bagi membuat penampilan pertamanya dan pemain Cottbus, Berkan Taz menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti buat pasukan tuan rumah.

“Pasukan saya bermain dengan baik hari ini. Saya mahu memasukkan Hernandez lebih awal berbanding pada minit ke-89, namun dia baharu pulih daripada kecederaan yang lama,” kata Niko Kovac kepada Sky.

Kovac juga mengesahkan ketibaan pemain sayap Croatia, Ivan Perisic melalui pinjaman dari Inter MIlan sebelum perlawanan itu, dengan memberitahu ARD bahawa dia ‘menjangkakan’ perpindahan itu akan diteruskan. – AFP

Lewandowski (kiri) bersaing merebut bola dengan penjaga gol Cottbus dalam aksi pusingan pertama Piala Jerman di Cottbus. – AFP