Bayern tak mahu Wenger

MUNICH, 8 NOV – Bayern Munich menolak minat yang ditunjukkan Arsene Wenger untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus susulan pemecatan Nico Kovac, umum juara Jerman itu, semalam.

“Arsene Wenger menghubungi (Pengerusi Bayern) Karl-Heinz Rummenigge pada Rabu untuk memberitahu mengenai minatnya terhadap jawatan itu,” kata jurucakap Bayern kepada AFP.

“Bayern menghargai apa yang dilakukan Wenger di Arsenal, tetapi dia tidak berada dalam pertimbangan kami sebagai jurulatih.”

Kovac disingkirkan pada minggu ini susulan persembahan buruk yang ditampilkan kelab itu termasuk ketika tewas 5-1 kepada Eintracht Frankfurt, minggu lalu yang menjadi kekalahan terburuk kelab itu dalam tempoh sedekad.

Ia juga meletakkan gergasi Jerman itu di tangga keempat Bundesliga.

Pembantu Kovac, Hansi Flick mengambil alih tugas sebagai jurulatih sementara ketika Bayern sedang memburu jurulatih baharu dengan presiden kelab, Uli Hoeness berkata mereka menjangkakan ‘pemburuan’ itu akan selesai pada 23 November ini.

Begitupun, cubaan mereka untuk mendapatkan pengendali Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel dan bos Ajax, Erik ten Hag ditolak selepas kedua-duanya menegaskan akan menghormati kontrak mereka sehingga penghujung musim. – AFP

Gambar fail pada 4 November 2015 menunjukkan Arsene Wenger tiba bagi perlawanan Liga Juara UEFA, Kumpulan F di antara FC Bayern Munich and Arsenal FC di Munich. – AFP