Bayern takluk Eropah, Coman muncul wira

LISBON, 24 OGOS – Bayern Munich menjuarai Piala Eropah buat kali ke-6 kelmarin selepas jaringan Kingsley Coman memberikan kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint-Germain dalam perlawanan final Liga Juara-Juara di Lisbon, menyempurnakan musim yang fantastik bagi gergasi Jerman dan menyebabkan lawan mereka terlepas peluang memenangi trofi yang mereka idam-idamkan.

Ia merupakan perlawanan final yang penuh berhati-hati, dengan kedua-dua pasukan sekali skala membuat percubaan dan mencipta peluang, terutama sebelum jaringan Coman hasil daripada hantaran Joshua Kimmich pada minit ke-59 dan melengkapkan treble untuk pasukannya yang sudah menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman.

Pasukan Hansi Flick merasa mereka layak untuk memenangi perlawanan tersebut, tetapi PSG akan merasa kesal kerana mensia-siakan peluang mereka semasa perlawanan di Estadio da Luz tanpa kehadiran peminat.

Terutamanya Kylian Mbappe yang sepatutnya melakukan percubaan lebih baik daripada menendang bola tepat ke Manuel Neuer sebelum tamat separuh masa pertama.

Penyerang yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis telah bercakap mengenai keazamannya untuk mencipta sejarah negaranya dengan membantu PSG menjadi pasukan kedua dari Perancis menjuarai kejohanan utama bola sepak Eropah.

Tetapi mereka terpaksa menunggu sekali lagi untuk menyamai Merseille, yang memenangi Liga Juara-Juara buat julung kali pada 1993.

Pemilik PSG dari Qatar telah membelanjakan 402 juta euro ke atas Neymar dan Mbappe pada 2017 untuk menjuarai kejohanan tersebut, dan bukan setakat mara ke pusingan final. Namun, pemain tersebut telah menyebabkan PSG terlepas menjulang trofi akibat mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

Coman, 24, dilahirkan di Paris dan memulakan kariernya bersama PSG, meninggalkan kelab pada 2014 untuk menyertai Juventus, disebabkan merasakan dirinya tidak akan bermain dengan lebih kerap jika dia kekal bersama PSG.

Dia telah diletakkan di bangku simpanan semasa separuh akhir menentang Lyon tetapi diturunkan semasa aksi final, menggantikan Ivan Perisic di bahagian sayap kiri.

Coman mungkin tidak akan dialu-alukan kembali ke bandar kelahirannya selepas ini. – AFP

Reaksi ketua pasukan Bayern Munich, Manuel Neuer menjulang piala Liga Juara-Juara setelah menewaskan PSG 1-0 di Lisbon.- AP