Bayern tempa tiket peringkat 16 akhir

MUNICH, JERMAN 26 NOV – Juara bertahan Bayern Munich berjaya menempa tempat ke peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara ketika Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-71nya dalam perlawanan itu dengan kemenangan 3-1 menentang Salzburg semalam.

Lewandowski meledakkan gol sebelum rehat di separuh masa pertama di Stadium Allianz Arena untuk menyamakan rekod penyerang legenda Real Madrid, Raul di kedudukan ketiga Liga Juara-Juara dalam senarai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara. Hanya Cristiano Ronaldo meledakkan 131 gol dan Lionel Messi 118 gol lebih banyak berbanding bintang Poland itu.

Bayern mencipta kemenangan ke-15 berturut-turut dalam aksi Liga Juara-Juara untuk mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan A, manakala pasukan yang berada di tangga kedua, Atletico Madrid seri 0-0 berdepan Lokomotiv Moscow.

“Penting untuk kita menjadi pemenang kumpulan. Itu adalah langkah yang jelas ke haluan yang betul,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer.

Tuan rumah Bayern menggandakan kedudukan selepas rehat menerusi rembatan Kingsley Coman yang melencong terkena pertahanan Salzburg, Maximilian Woeber. Leroy Sane mencetak gol ketiga selepas Bayern bermain 10 orang apabila pemain tengah, Marc Roca dibuang padang pada penampilan sulungnya dalam Liga Juara-Juara.

Salzburg merapatkan kedudukan menerusi jaringan penyerang Mergim Berisha pada minit ke-73. Dengan pemain pertahanan Bayern, Niklas Suele dan Lucas Hernandez diketepikan, pemain antarabangsa AS, Chris Richards membuat penampilan pertama Liga Juara-Juara di posisi pertahanan kiri. – AFP

Aksi penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski ketika mengawal bola dalam perlawanan Liga Juara-Juara antara Bayern Munich dan Salzburg di Munich semalam. – AFP