PARIS, 22 MAC – Gol pada separuh masa pertama Lea Schueller memberikan Bayern Munich kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Wanita, kelmarin.
Penyerang Jerman, Schueller menjaringkan gol tunggal perlawanan enam minit sebelum separuh masa di Arena Allianz, memanfaatkan hantaran dari Maximiliane Rall untuk menanduk masuk bola ke gawang.
Bagaimanapun, Arsenal sepatutnya pulang dengan membawa satu mata menjelang perlawanan timbal balik di London minggu hadapan, selepas percubaan Caitlin Foord terkena tiang pada awal separuh masa kedua.
Pemain Jepun, Saki Kumagai kemudiannya menyelamatkan bola daripada melepasi garisan gol untuk menafikan percubaan Stina Blackstenius, dan Schueller juga melakukan tindakan yang serupa untuk menghalang Leah Williamson daripada menyamakan kedudukan.
Arsenal, yang kemenangannya pada 2007 kekal sebagai satu-satunya kelab Inggeris memenangi pertandingan itu, sedang berusaha untuk mengelak daripada menentang lawan Jerman pada suku akhir untuk tahun kedua berturut-turut selepas tewas kepada Wolfsburg pada peringkat ini musim lalu.
Perlawanan kedua akan berlangsung di Stadium Emirates Rabu depan, sebelum itu Bayern mesti menentang Wolfsburg dalam pertemuan dua teratas Bundesliga Jerman pada hujung minggu. – AFP
