Bazar kembali meriahkan Ramadan

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Ramadan bukan sahaja bulan kerahmatan yang menjanjikan pahala berlipat ganda, malah pada bulan ini juga, pintu rezeki dibuka seluas-luasnya bagi mereka yang mencari rezeki dengan berniaga dan berjaja di bazar Ramadan.

Ini kerana setiap kali tibanya Ramadan mubarak, gerai-gerai Ramadan menjual pelbagai juadah berbuka puasa tumbuh bak cendawan selepas hujan dan pastinya menjadi tumpuan orang ramai mencari juadah bersungkai bermula dari hari pertama puasa lagi di negara ini.

Tahun ini gerai-gerai Ramadan kembali meriah dikunjungi orang ramai meskipun baru memasuki hari pertama puasa, selepas dihadkan operasinya pada tahun 2020 akibat penularan wabak COVID-19.

Salah satu yang terkenal ialah Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang bertukar dari kawasan lengang ke kawasan yang riuh dan tumpuan ramai sama ada penjaja dan orang ramai yang membeli juadah berbuka puasa.

Wartawan Media Permata berkesempatan meninjau suasana bazar Ramadan di sana hari ini, sekali gus menemu bual beberapa peniaga dan pengunjung ke bazar tersebut. Salah seorang pengunjung, Awang Mohamad Sa’ahrulreimey bin Haji Lamit ketika ditemu sempat mengongsikan perasaan terujanya apabila berpeluang sekali lagi untuk mengunjungi gerai-gerai Ramadan di sana, yang katanya dirindukan oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini apabila menjelangnya bulan suci Ramdan.

Antara gerai yang menjual juadah enak berbuka puasa yang ada di Bazar Ramadan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Awang Mohamad Sa’ahrulreimey sanggup datang dari Tutong untuk mengunjungi bazar Ramadan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Antara peniaga yang mengikuti gerai Ramadan.
Antara pengunjung yang datang untuk mencari juadah bersungkai di Gerai Ramadan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Orang ramai yang membanjiri bazar untuk mencari juadah bersungkai terutama pada hari pertama umat Islam di negara ini berpuasa.

Beliau yang tinggal di Daerah Tutong sanggup mengunjungi gerai Ramadan itu bersama ahli keluarganya dan rakan-rakannya seawal jam 2 petang disebabkan gerai di sana menawarkan pelbagai jenis juadah makanan berbuka puasa daripada lebih 200 petak jualan.

Salah seorang peniaga, Dayangku Nur Waiedah menjelaskan bergerai Ramadan di sana merupakan pengalaman pertama mengikuti jualan di bawah syarikat baharunya, Fwings.

“Ia satu penghargaan buat kami dapat menyertai bazar ini kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu mendedahkan syarikat kami kepada orang ramai, lagipun kunjungan lebih banyak di sana berbanding tempat lain dan bulan ini, kami menutup gerai di Batu Bersurat untuk menumpukan perniagaan di sini,” tambahnya.

Sepanjang Ramadan ini, pelbagai makanan enak dan menarik dengan harga daripada serendah $1 ditawarkan di bazar di stadium itu.

Namun dalam memastikan langkah waspada terhadap jangkitan COVID-19 dalam komuniti, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan semasa beroperasinya bazar itu sama ada bagi pengunjung mahupun penjual, antaranya mengamalkan penjarakan fizikal, mengimbas aplikasi BruHealth dan penggunaan penutup mulut dan hidung bagi para penjual dan pengendali makanan.