Bazar Ramadan Istimewa dirasmi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Orang ramai digalakkan untuk berbelanja di negara sendiri dan pada masa yang sama memberi sokongan kepada para peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai barangan berkualiti pada harga berpatutan.

Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung dan memberikan sokongan kepada pengusaha tempatan semasa Bazar Ramadan Istimewa Sempena Hari Raya 1440H/2019M yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, bermula pada 1 hingga 30 Ramadan.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian bazar berkenaan, hari ini, ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Ali bin Matyasin.

Pada majlis itu juga, Haji Ali dan Pengurus RIZA Group, Pengiran Haji Haris bin Pengiran Duraman turut menyempurnakan penyampaian derma kepada seramai 20 orang anak yatim.

Semasa bazar itu, para peniaga bukan sahaja menawarkan pelbagai barangan berkualiti tetapi para pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan harga istimewa sepanjang jualan berkenaan.

Haji Ali memukul gong bagi menyempurnakan perasmian Bazar Ramadan Istimewa, kelmarin.
Haji Ali menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim pada majlis berkenaan.

Jualan istimewa itu dihasratkan bukan sahaja untuk memberikan peluang dan ruang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk berniaga di sepanjang bulan Ramadan tetapi juga dapat memeriahkan lagi suasana Bandar Seri Begawan, khususnya Dermaga Diraja supaya ia sentiasa disemarakkan dengan kegiatan perusahaan dan perniagaan.

Bazar Ramadan istimewa itu menyediakan sebanyak 26 buah petak dan 10 buah meja jualan di kem luar.

Bazar anjuran bersama Riza Group, Perusahaan Peniaga Taman Impian & Rakan-Rakan itu juga dihasratkan untuk memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk tempatan berkecimpung dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

Ia bermatlamat untuk memberikan peluang kepada para peniaga untuk mengetengahkan koleksi barangan Ramadan dan Hari Raya serta pelbagai barangan bagi persediaan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Di samping itu, bazar diharap akan memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian, aksesori, songkok buatan tangan Brunei, minyak harum kayu gaharu, kuih-muih dan pelbagai barangan lain.

Oleh itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke jualan istimewa yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam untuk mendapatkan pelbagai barangan bagi menyambut Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada harga-harga yang menarik.