Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 15 Jan – Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah yang akan diadakan pada bulan Februari bertempat di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat Gadong.
Menurut Setiausaha BBA, Awang Wira bin Pori memberitahu bahawa kejohanan bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 itu dijangka akan diadakan pada 19 hingga 26 Februari dengan sokongan oleh Core-Lee Enterprise, Easy Way Tea and Cafe dan Soon Lee Holdings.
Menurutnya lagi, salah satu objektif utama kejohanan tersebut diadakan adalah untuk mengenalpasti pemain-pemain yang berpotensi yang mampu mewakili negara ke pertandingan serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BBA, Johnny Ang pula memberitahu, salah satu keutamaan kejohanan itu juga adalah bagi menggiatkan semula platform bagi belia yang bercita-cita mewakili negara.
“Aspirasi jawatankuasa eksekutif baru BBA bagi tempoh tiga tahun akan datang adalah untuk membangunkan satu pasukan yang berdaya saing dalam pertandingan SEABA,” tambahnya.
Kejohanan tersebut akan dibukakan penyertaannya kepada warganegara Brunei dan penduduk tetap serta pemain yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghubungi BBA di daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Awang Wira menyatakan bagi mereka yang tinggal di Daerah Tutong yang berminat untuk menyertainya bolehlah menghubungi On Wei Yeah di talian 8737528, manakala bagi Daerah Belait boleh menghubungi Pengerusi BBA Wong Ming Ching di talian 8758873.
Sementara itu bagi Daerah Temburong boleh menghubungi Tan Chu Eu di talian 8758338.
Bagi di Daerah Brunei dan Muara, BBA akan mengadakan pemilihan pemain pada 22 Januari di Dewan Bola Keranjang BBA pada kira-kira pukul 2 petang dan kepada yang berminat boleh menghadirinya.
“Dalam kejohanan ini nanti, kami akan fokus kepada kaum remaja, setiap pasukan dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang pemain di bawah usia 23 tahun dan seorang pemain belia yang mesti bermain setiap masa sepanjang kejohanan,” kata Awang Wira.
Sebagai salah satu daripada persatuan sukan yang aktif di negara ini, jawatankuasa eksekutif baru BBA memainkan peranan yang lebih kukuh dalam pembangunan belia di negara ini, selaras dengan seruan untuk belia menjadikan Wawasan Brunei 2035 satu kejayaan.
































