BBA nasihat patuhi langkah penjarakan sosial

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) menekankan komuniti bola keranjang untuk mengamalkan panduan penjarakan sosial selari dengan langkah kerajaan untuk membantu membendung penularan pandemik koronavirus (COVID-19).

Kenyataan tersebut dikeluarkan melalui laman Facebook dibuat sejurus laporan berita menyebut bahawa beberapa orang ahli bola keranjang dilihat mengadakan perkumpulan dan bermain perlawanan bola kerajang di Jalan Berakas.

Kenyataan tersebut turut menyebutkan bahawa individu-individu tersebut bermain sekitar 5 petang sehingga lewat malam dan persoalan yang timbul mengapakan mereka dibenarkan untuk bermain meskipun langkah sekatan masih berkuat kuasa.

Walaupun begitu, BBA ingin mengulangi bahawa kesemua kejohanan telah digantungkan dan menutup Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei pada 14 Mac sebelum pihak kerajaan membuat pengumuman penutupan semua kompleks dan kemudahan sukan.

BBA berkata, “Sebagai ahli komuniti Brunei yang bertanggungjawab dan langkah kita untuk memerangi COVID-19, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Keranjang Brunei telah mengambil inisiatif untuk mengantungkan semua kejohanan dan menutup gelanggang bola keranjang di Batu Bersurat pada 14 Mac. Ia adalah sebelum pengumuman kerajaan Brunei untuk menutup semua kemudahan sukan”.

Penutupan kesemua kompleks dan kemudahan sukan telah dibuat empat hari kemudian dengan Negara Brunei Darussalam sedang giat meningkatkan usaha untuk membendung penularan koronavirus.

Dengan gelanggang utama BBA telah ditutup dan tiada aktiviti bola keranjang sejak penggantungan sebarang kejohanan, BBA ingin menambah bahawa mereka tidak mempunyai kuasa atas sebarang operasi kemudahan bola keranjang lain dan tindakan mana-mana individu.

Kenyataan menambah, “kami menyeru komuniti bola keranjang tempatan untuk mematuhi garis panduan pihak berkuasa tempatan mengenai penjarakan sosial. Ia adalah tanggungjawab kita untuk bertindak sewajarnya dalam waktu-waktu mencabar ini.”

BBA mengalu-alukan semula kesemua peminat bola keranjang apabila gelanggang dibuka semula dan menasihatkan orang ramai untuk terus berada di rumah dan menjaga keselamatan.

Mengakhiri kenyataan, BBA ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas barisan hadapan dan pekerja-pekerja peniaga dan perkhidmatan yang sedang beroperasi ketika ini untuk menjalankan beberapa aktiviti di Brunei Darussalam.